Bagi anda yang sudah buntu untuk mencari idea mencantikkan Toyota Harrier (nama di pasaran lain Toyota Venza), syarikat Jepun Albermo yang sebelum ini pernah menawarkan kit badan untuk Raize/Rocky kini hadir dengan kit badan yang serupa untuk Harrier.
Kit badan ini dinamakan sebagai XH42 yang merangkumi bampar hadapan dengan bucu hadapan yang tajam, bukaan tengah yang besar, serta liang kemasukan udara sisi yang lebih agresif.
Albermo turut menawarkan penambahan pada fender yang bersegi, sebelum menambah sayap belakang yang mungkin tidak memberikan kesan kepada aspek aerodinamik.
Pada bahagian bampar belakang, terdapat komponen diffuser yang agresif sebelum diakhiri dengan tip ekzos berkembar posisi tengah yang diperoleh daripada 5Zigen.
Tiada sebarang harga jualan diumumkan, namun setiap daripada unit ini dijual berasingan dan tidak dicat bagi membolehkan pelanggan menetapkan sendiri warna yang mereka inginkan.