Menurut laman web Jepun Goo-Net.com, enjin FA24 versi turbo ini dijangka mampu menghasilkan kuasa setinggi 296 kuasa kuda dalam versi WRX, manakala talaan pada versi WRX STI pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 345 hp.
Sebagai perbandingan, enjin FA24 (lebih tepat lagi kod FA24D) dalam perut Subaru BRZ berupaya menghasilkan 228 hp dan 249 Nm, manakala model WRX sedia ada menggunakan enjin FA20F 2.0 liter yang menghasilkan 268 hp (atau 310 hp daripada enjin 2.5 liter turbo WRX STI generasi terkini).
Selain daripada versi aspirasi natural yang terdapat pada Subaru BRZ (dan Toyota GR 86), enjin flat-four FA24 sudah pun digunakan sebelum ini pada model-model seperti Subaru Ascent, Subaru Legacy dan juga Outback, di mana secara enjin turbo FA24F ini berupaya menghasilkan 260 hp dan 376 Nm.
Laman web Goo-Net.com itu juga turut melaporkan WRX generasi baharu yang berkongsi platform dengan Levorg generasi kedua itu akan hadir dengan transmisi CVT, manakala versi WRX STI pula akan ditawarkan dengan kotak gear manual.
Selain daripada itu, difahamkan juga versi WRX (dan WRX STI) baharu ini merupakan generasi terakhir yang akan diperkenalkan tanpa sebarang bantuan elektrifikasi.
Sumber: Goo-Net.com