Teaser yang berbentuk lakaran rekaan oleh Volkswagen Commercial Vehicles itu mendedahkan serba sedikit DNA Volkswagen di mana VW tidak mahu Amarok digelar sebagai 'Ranger dengan logo VW'.
Bertepatan dengan dua gambar teaser yang telah didedahkan sebelum ini, VW Amarok ternyata mahu membezakan diri daripada Ranger meskipun kedua-dua model itu berkongsi platform yang sama.
Perbezaan tersebut boleh dilihat pada reka bentuk hadapan, fender, lampu utama, gril hadapan, serta rekaan hud enjin.
Komponen yang dikongsi dengan Ranger hanyalah panel pintu dan juga perumah cermin sisi.
Selain itu, VW Amarok juga dilihat membawakan rekaan cladding plastik pada arka roda yang agak lebar, bar LED pada bahagian bumbung, serta jalur LED melintang di bahagian atas gril.
Volkswagen Commercial Division juga turut mendedahkan rekaan ruang kabin, di mana komponen yang hampir serupa dengan Ranger hanyalah skrin infotainmen menegak di bahagian tengah.
Selain itu, rekaan roda stereng, konsol tengah, tuil penukaran gear, posisi bek parkir elektronik serta posisi tempat meletak cawan adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan Ranger.
Anda juga boleh jangkakan Amarok bakal hadir dengan penawaran trenkuasa yang sama dengan Ranger, termasuklah nadi diesel bentangan V6 yang hanya wujud pada pasaran tertentu sahaja.
Volkwagen bakal memproduksikan Amarok di Afrika Selatan dan Argentina dan mula dijual di Eropah pada tahun hadapan.