Menurut laporan daripad Autocar, beliau menjawab soalan berhubung kemungkinan Audi akan hadir dengan model trak pikap pada masa akan datang.
"Saya tidak boleh janji, namun kami sedang menelitinya," jelas beliau.
Tiada sebarang butiran lanjut didedahkan, namun Duesmann menambah, "sebenarnya, kami akan memperlihatkan sesuatu - dalam masa terdekat" yang memberikan petunjuk Audi bakal hadir dengan sebuah model konsep kelak.
Audi yang sangat terkenal dengan sistem pacuan semua roda Quattro itu sehingga kini masih tidak mempunyai sebarang model trak pikap.
Apa yang boleh Audi buat adalah menggunakan platform sedia ada daripada kumpulan Volkswagen, seperti contoh trak pikap VW Amarok yang sebenarnya berkongsi pelantar dengan Ford Ranger generasi baharu.
Ini membolehkan Audi mencabar pesaing-pesaing yang ada seperti Toyota Hilux, Isuzu D-Max serta Mitsubishi Triton.
Selain itu, Audi boleh mempergunakan platform EV sedia ada seperti MEB dan juga PPE dengan keupayaan pacuan semua roda, serta penawaran trenkuasa elektrik yang nampaknya lebih sesuai memandangkan Audi mahu menjadi sebuah jenama kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030.
Audi sebelum ini pernah muncul dengan sebuah model konsep off-road AI:Trail pada tahun 2019, menampilkan empat motor elektrik (satu untuk setiap roda), dengan kuasa gandingan 429 hp dan daya kilas 1,000 Nm, serta keupayaan pemanduan sejauh 500 km atau 250 km di laluan off-road.
Sumber: Autocar