E01 disasarkan kepada pengendali perkongsian kenderaan, kerajaan tempatan, agensi kerajaan dan pihak lain yang berminat.
Ianya dibuat bagi memahami keperluan pengguna sebenar, potensi dalam perniagaan berkaitan, membuka pasaran baharu dan pelbagai lagi.
Yamaha belum menjelaskan kaedah pelaksanaan sama ada melalui pinjaman, sewaan atau pajakan.
Dari segi posisi, E01 adalah skuter elektrik dengan penggunaan menyamai skuter petrol bersesaran 50cc hingga 125cc dan prestasi bersesuaian untuk pengangkutan antara bandar.
Berikut adalah ciri-ciri teknikal Yamaha E01:
- Skuter elektrik kelas 8.1 kW
- Motor elektrik yang dibangunkan dan dikeluarkan sendiri oleh Yamaha
- Bateri kekal, bukan jenis tanggal
- Anggaran jarak gerak 104 kilometer
- Tiga sistem pengecasan berbeza
- Rangka khas untuk model ini
Sebelum E01, Yamaha baru sahaja mengumumkan penawaran skuter elektrik NEO'S di Eropah dan turut merancang untuk memperkenalkannya di negara ASEAN.
Bezanya, NEO's menggunakan kaedah bateri boleh tanggal di mana pengguna boleh menukarnya di stesen bateri yang tersedia.
Seperkara lagi, E01 dikeluarkan di Iwata, Jepun manakala NEO's di Vietnam.
Berkenaan harga, NEO's ditawarkan pada 2,999 Euro (RM13,808) dengan sasaran jualan 10,000 unit setahun di Eropah.
Harga E01 pula belum dikongsikan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin