Yamaha Motor baru-baru ini memperlihatkan sebuah prototaip EPS yang dibangunkan khas untuk membantu menambahbaik tahap kestabilan dan kelincahan sesebuah motosikal.
Unit prototaip itu bakal digunakan secara ekstensif oleh dua jentera YZ450FM dan YZ250F dalam acara perlumbaan All Japan Motocross Championship, dan segala data akan digunakan untuk tujuan mempercepatkan proses pembangunan dan penyelidikan sistem tersebut.
Secara asasnya, sistem ini bertindak sama seperti sistem EPS kereta, di mana ia akan memberikan sokongan terhadap input stereng pada kelajuan rendah, dan menjadikan pengendalian lebih stabil pada kelajuan yang tinggi.
Apa yang membezakannya dengan sistem EPS kereta adalah teknologi penderia yang digelar sebagai magnetostrictive torque sensor yang membolehkan ia berfungsi sebagai peredam stereng. Menurut Yamaha, sistem ini mampu menyumbang kepada kestabilan motosikal, meningkatkan kelincahan, serta mengurangkan keletihan penunggang.