Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.15 malam.
"Seramai 13 anggota dan empat jentera termasuk masing-masing sebuah jentera tangki air dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.
"Setiba di lokasi, bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah pesawat latihan jenis Diamond-14 yang tergelincir dari landasan ketika melakukan pendaratan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Sayani berkata, seorang mangsa mengalami kecederaan ringan dan dikeluarkan oleh anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) sejurus ketibaan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi.
"Pasukan bomba masih membuat pemantauan manakala mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut," katanya.