Sudah pasti ramai yang tertanya-tanya, bilakah pelancaran sebenar hot hatch terakhir dengan enjin pembakaran dalaman tulen dari Honda itu?
Bercakap kepada Carsales, pengarah Honda Australia Stephen Collins mengesahkan Honda Civic Type R akan membuat kemunculan rasmi di peringkat global pada bulan depan.
Menariknya, biarpun disifatkan sebagai kemunculan rasmi, Honda membuat keputusan untuk mengekalkan pelekat samaran sama seperti yang wujud pada model-model ujian sebelum ini.
Honda Civic Type R 2023 ini dijangka mengekalkan nadi empat silinder sebaris 2.0 liter turbo sama macam model FK8, mungkin dengan angka output yang dipertingkatkan.
Malah, ia juga turut disahkan bakal ditawar dalam transmisi manual, walaupun terdapat khabar angin yang mendakwa Honda turut membangunkan kotak gear automatik untuk golongan kaki petrol yang tidak gemar mencederakan kaki kiri.
Berdasarkan gambar intipan yang diperoleh sebelum ini, Honda Civic Type R 2023 dilihat membawakan resepi sebuah hot hatch - sayap belakang yang agresif, sistem ekzos tiga corong, serta rupa paras yang jauh lebih matang.
Di Eropah, Honda Civic Type R bakal menjadi model berenjin tulen yang terakhir bakal dijual secara rasmi, memandangkan undang-undang pelepasan emisi yang semakin ketat dilaksanakan di benua tersebut.
Sumber: Carsales