Ia merupakan SUV mewah pertama berkuasa elektrik yang boleh didapati sebagai sebuah kenderaan dengan tujuh tempat duduk, sesuai untuk golongan berkeluarga di Malaysia.
Hal ini turut disokong dengan fakta di mana baris ketiga boleh memuatkan penumpang berketinggian 1.65 meter selain mampu memuatkan kerusi kanak-kanak di bahagian tersebut.
Terima kasih kepada jarak antara roda sepanjang 2,829 mm, Mercedes-Benz EQB mampu menawarkan ruang kargo maksimum sehingga 1,710 liter.
Dari segi luaran, EQB ini didatangkan dengan rim aloi ringan lima jejari bersaiz 19 inci, rel bumbung aluminium bergilap, panel gril hitam, unit lampu LED High Performance, sistem pencahayaan keliling dengan logo Mercedes, serta penyeka kaca yang dilengkapi dengan penderia hujan.
Memasuki ruang kabin, anda akan disambut dengan kerusi balutan kulit ARTICO yang digandingkan dengan fabrik Cupertino kemasan dua tona rose gold dan titanium grey pearl, roda stereng sports balutan kulit Nappa, paddle shifter bergalvani, sistem kawalan iklim automatik, dan tidak ketinggalan sistem pencahayaan ambien.
Untuk kemudahan, EQB turut menawarkan slot pengecasan peranti pintar nirwayar, pakej HANDS-FREE, KEYLESS-GO, serta soket 12V di bahagian belakang.
Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz EQB 350 4MATIC dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 292 hp dan 520 Nm, pecutan sepantas 6.2 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 160 km/j.
Pek bateri berkapasiti 66.5 kWh pula membolehkan jarak operasi sejauh 388-423 km untuk sekali cas penuh.
EQB 350 4MATIC turut menyokong pengecasan AC 11 kW yang mengambil masa kira-kira 6 jam 15 minit (SoC 10-80%), atau pengecasan pantas DC 100 kW yang hanya memakan masa 32 minit sahaja (SoC 10-80%).
Harga jualan anggaran EQB 350 4MATIC bermula dari RM330,000.