Namun tahukah anda, Porsche pada asalnya mahu menggunakan nama ‘Safari’ pada model 911 off-road ini.
Kenderaan stail safari sebenarnya merujuk kepada kereta sports dengan sistem suspensi, tayar dan kelengkapan yang membolehkannya menawan laluan off-road.
Hasrat Porsche nampaknya tidak kesampaian, menurut laporan daripada Edmunds.
Ini kerana di beberapa pasaran global, hak penggunaan nama Safari itu sebenarnya dipegang oleh Tata untuk digunakan pada model crossover syarikat tersebut.
Menurut Thomas Krickelberg, pengarah program 911 Dakar berkata, “kami telah membuat rundingan dengan mereka, namun tiada kebenaran diberikan untuk menggunakan nama tersebut. Itu merupakan pilihan A. Dan kemudian kami bertukar untuk menggunakan nama Dakar.
Namun, keputusan itu bukan mudah, kerana tanda dagang nama ‘Dakar’ itu juga sebenarnya turut dipegang oleh penganjur Dakar Rally, Amaury Sport Organization (ASO).
Porsche dilapor perlu membayar sejumlah wang (yang tidak disebutkan jumlahnya) untuk memperoleh hak menggunakan terma Dakar pada model 911 off-road itu.
“Perbincangan itu berjalan lancar,” ujar Krickelberg.
Untuk makluman, Porsche hanya membina 2,500 unit 911 Dakar untuk pasaran global, di mana 600 unit daripadanya diperuntukkan untuk pasaran Amerika Syarikat.
Ia dikuasakan oleh enjin flat-six 3.0 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 473 hp, dipadankan dengan transmisi PDK lapan nisbah kelajuan, dan penambahan mod pemanduan Off-road dan Rallye.
Terdapat kemungkinan versi Dakar ini akan ditawarkan untuk model-model Porsche lain, seperti SUV Macan dan Cayenne, namun itu semua bergantung kepada kejayaan 911 Dakar dalam dunia sebenar.
Baca: Porsche 911 Dakar 2023
Sumber: Edmunds