Pemilik itu dilapor menghadapi dilema apabila dia mengetahui bahawa Model 3 yang dibeli pada tahun 2020 tanpa jaminan pengeluar itu memerlukan penggantian bateri dengan segera selepas 3 tahun digunakan, bersama catatan perbatuan 241,000 km.
Hanya dua pilihan seperti yang dihadapi pemilik kereta lain, iaitu sama ada untuk menggantikan pek bateri yang rosak dengan kos USD12 ribu (RM56 ribu), atau jual EV tersebut dengan harga USD16 ribu (RM74 ribu).
Pemilik Model 3 itu baru-baru ini telah menerima notifikasi “Had cas dan jarak perbatuan dikurangkan, mohon servis segera – OK untuk memandu”.

Di mana tidak lama selepas itu dia telah dihubungi oleh wakil servis Tesla, yang menyarankan untuk penukaran bateri dalam masa terdekat disebabkan oleh sel bateri yang telah rosak dan lusuh.
Seperti telefon pintar, Tesla Model 3 itu turut memaparkan status bateri, di mana keadaannya kini berada pada paras 81 peratus, namun sel bateri yang rosak menghadkan keupayaan mengecas, bermakna baterinya harus ditukar jika ianya mahu terus digunakan.
Malang lagi baginya, Model 3 tanpa waranti itu memerlukan kos sehingga USD12 ribu (RM56 ribu) untuk penggantian pek bateri, di mana ianya dilihat tidak berbaloi kerana pemiliknya masih memiliki hutang sebanyak USD20 ribu (RM93 ribu) pada EV tersebut.

Bagaimanapun, pemilik Model 3 itu telah menerima tawaran dari penjual kereta terpakai yang menawarkan USD16 ribu (RM74 ribu).
Tetapi dia perlu menjangkakan harga lebih rendah kerana pembeli masih tidak dimaklumkan mengenai masalah bateri pada Model 3 miliknya itu.
Pastinya, masalah ini merupakan satu mimpi ngeri buat para pemilik di luar sana, dan kerana inilah pentingnya waranti rasmi yang ditawarkan oleh pengeluar.