XRT Concept bakal menjadi produksi kepada model Mitsubishi Triton 2023 dimana pelancaran rasminya dijangka pada bulan Julai tahun ini secara global.

Melalui sesi sidang media pada acara BIMS 2023, antara ciri utama model tersebut ialah penggunaan enjin, platform, transmisi dan casis serba baharu yang dibangunkan oleh Mitsubishi Motors Corporation (MMC).
Dengan semua ciri baharu yang dihadirkan, tentu sekali kita bakal merasai pengalaman serba baharu dalam trak pikap popular Mitsubishi tersebut.

Apa yang menariknya juga, rekaan produksi Triton 2023 akan hampir sama dengan versi konsep tersebut, dimana rekaan yang garang itu sememangnya bakal menggugat saingannya dalam pasaran.
Untuk pasaran Thailand, Mitsubishi Triton merupakan model paling laku yang dihasilkan di kilangnya di Laemchabang, dan merupakan model strategik MMC secara global yang telah dieksport ke hampir 150 negara.

Dengan rekaan dan spesifikasi serba baharu setelah berada 9 tahun dalam pasaran, Triton 2023 bakal akan menjadi generasi keenam yang akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Dari segi reka bentuk, XRT Concept didatangkan dengan rekaan serba baharu dengan ekpresi yang garang pada bahagian depan bersama hood mendatar hingga ke sisi.

Model konsep itu turut dipasang dengan fender lebar di bahagian depan dan belakang yang melebarkan lagi rupa trak pikap tersebut, lengkap bersama tayar untuk permukaan berlumpur.
XRT Concept itu dihiasi dengan liveri penyamaran yang diilhamkan oleh batuan lava bersama grafik ikon jenama Ralliart dengan 10 garisan selari.

Presiden dan CEO MMC, Takao Kato berkata, "2023 merupakan tahun penting bagi Mitsubishi Motors untuk mempercepatkan perniagaan kami di rantau ASEAN, dengan pelancaran Triton yang diubah suai sepenuhnya dan SUV kompak serba baharu,"
"Triton serba baharu sedang melalui sentuhan akhir sebagai persediaan untuk keluarannya, kerana kami telah melakukan ujian ketahanan yang ketat di seluruh dunia sambil turut menggabungkan pengetahuan yang diperoleh daripada aktiviti rali."
"Dengan pelancaran kenderaan baharu, kami akan meneruskan usaha ke arah pertumbuhan selanjutnya."