Kini, lebih banyak perincian didedahkan oleh pengeluar automotif Korea Selatan itu, termasuk penawaran di dalam ruang kabin yang direka untuk memuaskan hati pelanggan yang gemar memandu sendiri atau mereka yang lebih suka duduk di belakang seperti seorang bos sebenar.
Dimulakan dengan rekaan papan pemuka, Genesis G90 2023 kini menampilkan susun atur yang jauh lebih moden dan mewah.
Pemandu akan disambut dengan sistem pengesahan cap jari yang boleh digunakan untuk memuatkan profil tetapan yang tersendiri, roda stereng dua jejari yang menampilkan sistem pengesanan tangan (Hands On Detection), serta terdapat skrin kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci yang dipadankan dengan skrin intotainmen 12.3 inci di dalam satu panel yang memanjang dan menyokong kemaskini over-the-air.
Di bahagian konsol tengah, terdapat tombol rotari penukaran gear, selain trim yang menggandingkan penggunaan bahan kaca dan aluminium, serta kemasan kayu Newspaper Crown atau Newspaper Stripe yang dibangunkan menggunakan bahan terbuang termasuk surat khabar lama untuk meminimumkan impak terhadap alam sekitar.
Terdapat juga tatahan logam yang memberikan penghormatan kepada teknik kraf tradisional Korea.
Sistem audio Bang & Olufsen terdiri daripada 23 unit pembesar suara serta tweeter jenis pop-up.
Untuk menjadikan ruang kabin lebih selesa, Genesis turut menyediakan sistem pewangi yang boleh dikawal menerusi skrin infotainmen atau kawalan di tempat duduk belakang, di mana anda boleh memilih pewangi seperti The Driver's Awakening, The Great Outdoors, dan My Favorite Place.
Sebagai sebuah sedan yang mementingkan golongan T1, kerusi depan dilengkapi dengan ciri 10 sel udara pada tempat penyandar, dan dua sel udara pada bahagian kusyen, serta menawarkan empat jenis urutan yang merangkumi satu badan, pinggang, pelvis, dan atas badan, serta tiga tetapan tempoh masa dan kekuatan urutan.
Kesejahteraan penumpang belakang tetap menjadi keutamaan, di mana Genesis G90 menyediakan tempat duduk VIP di bahagian kanan yang menyediakan ciri pemanasan dan ventilasi, tempat merehat kaki, tempat menyandar berkuasa elektrik, serta kehadiran ruang storan untuk menyimpan majalah dan buku.
Genesis G90 2023 telah disahkan mendapat enjin 3.5 liter bentangan V6 yang berupaya menghasilkan 375 hp dan 530 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.
Sistem gantungan Preview-Electronic Control Suspension dikatakan menawarkan pemanduan yang lebih selesa, di mana ia menggunakan sistem kamera untuk mengenalpasti kondisi jalan, dibantu dengan suspensi udara Multi-Chamber dengan tiga tetapan yang berbeza.
Ini bermakna, anda boleh meninggikan sedan ini sehingga 25 mm daripada tetapan asal mengikut kesesuaian untuk melawat kawasan ketika menghampiri musim pilihan raya.
Untuk sedan yang panjang ini, Genesis G90 dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang yang membolehkan roda dipusingkan sehingga empat darjah yang memudahkan urusan seperti di tempat parkir, atau sehingga dua darjah ketika pemanduan berkelajuan tinggi untuk lebih kestabilan dan kelincahan.
Ia juga membolehkan sedan ini mencapai radius putaran yang hampir sama dengan sebuah sedan saiz pertengahan, biarpun saiznya yang lebih besar.
Seperti yang ditunjukkan sebelum ini, Genesis G90 membawakan kemaskini rekaan yang lebih elegan, seperti elemen lampu Two-Line di bahagian depan, sisi dan belakang, sementara pemegang pintu pula adalah jenis tertanam di dalam badan.