Tidak seperti model Velociraptor (perhatikan perbezaan huruf R besar dan r kecil) yang diperkenalkan pada tahun lepas, VelociraptoR 6x6 terbaharu ini menggunakan asas daripada Ford F-150 Raptor R.
Tiada sebarang perubahan terhadap nadi Raptor R dan ini bermakna, enjin V8 5.2 liter dengan pengecas lampau itu berupaya menjana kuasa setinggi 700 hp @ 6,650 rpm dan daya kilas 868 Nm @ 4,250 rpm.
Antara perubahan yang dibawakan termasuklah gandar ketiga yang berfungsi sepenuhnya, di mana ia dikatakan mampu meningkatkan tahap cengkaman sebanyak lebih 50 peratus.
Bed belakang sepanjang 1.67 meter yang asal telah digantikan dengan bed sepanjang 2.4 meter – menambah kapasiti kargo sebanyak lebih 45 peratus berbanding model asal.

Selain itu, VelociraptoR ini turut menampilkan sistem peredam injap aktif Fox, sistem brek berprestasi tinggi Brembo, dan sistem angkat tiga inci bagi membolehkan rim kustom Hennessey bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar off-road 37 ini muat pada keenam-enam arka roda.
Dengan modifikasi yang disebutkan di atas, VelociraptoR ini mempunyai dimensi sepanjang 8,230 mm, lebar dan tinggi 2,134 mm dan berat hampir tiga tan (2,948 kg).
Melengkapi naiktaraf terhadap VelociraptoR ialah struktur bampar depan dan belakang baharu, lampu LED, serta lencana Hennessey VelociraptoR.
Hennessey VelociraptoR 6x6 ini dijual pada harga bermula dari $499,999 (RM2,229,496) di mana anda tidak perlu bersusah payah untuk mencari sebuah Ford F-150 Raptor R.