Sebaliknya, menerusi strategi multi-pathway, Toyota percaya terdapat pelbagai cara dan jalan yang sesuai untuk mencapai neutraliti karbon, dan bukan sekadar bergantung harap pada EV semata-mata.
Tahun 2023 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa bulan lagi kini menyaksikan permintaan terhadap EV di peringkat global semakin berkurang.
Presiden Toyota, Akio Toyoda percaya, pertumbuhan angka jualan EV di Amerika Syarikat yang perlahan itu membuktikan pendekatan yang diambil oleh syarikatnya adalah tepat.
"Terdapat pelbagai cara untuk mendaki gunung, yakni mencapai neutraliti karbon," ujarnya kepada pemberita pada Japan Mobility Show baru-baru ini.
Beliau menambah, "sekiranya undang-undang dicipta berdasarkan cita-cita, pengguna biasalah yang akan menderita."
Menurut laporan Wall Street Journal, kadar jualan global kenderaan elektrik berkembang sebanyak 63 peratus pada tahun 2022, namun menjadi perlahan kepada 49 peratus pada tahun 2023.
Keadaan ini telah menjejaskan pasaran Amerika secara khusus, di mana pengeluar seperti Ford dan GM kini sedang mempertimbang untuk mengurangkan angka produksi trak pikap elektrik.
GM baru-baru ini menurunkan sasaran jualan EV sebanyak 400,000 unit menjelang tahun 2024, demi menumpukan perhatian terhadap pembangunan EV yang lebih menguntungkan.
Sementara itu, ketua pegawai kewangan LG Energy Solutions, Lee Chang-sil memberitahu Reuters, permintaan terhadap EV pada tahun depan mungkin lebih rendah berbanding jangkaan.
Keyakinan Toyota terhadap kereta hibrid tidak pernah berubah, di mana ketua unit jualan Amerika Utara, Jack Hollis mendedahkan permintaan terhadap model hibrid jenama itu masih lagi tinggi.
Perkembangan terbaharu ini bukanlah satu petanda Toyota akan terus mengabaikan pembangunan EV secara terus.
Di Japan Mobility Show, pengeluar itu telah mendedahkan beberapa buah model konsep EV, termasuklah Land Cruiser Se, trak pikap kompak serta kereta sports elektrik FT-Se.
Sumber: The Drive, Wall Street Journal, Reuters