Dalam perkembangan terbaharu seperti yang dilaporkan oleh Motor1, pemilik Toyota GR86 itu memaklumkan pihak Toyota telah menarik kembali pembatalan tuntutan waranti yang dikemukakan dan akan membaiki semula kerosakan enjin tersebut dibawah perlindungan waranti seperti asal.
Laman web Motor1 juga berjaya mendapatkan penjelasan daripada pihak Toyota sendiri berhubung kes tersebut.
Menurut kenyataan, Toyota menegaskan walaupun waranti tidak termasuk kerosakan yang diakibatkan oleh aktiviti seperti penyalahgunaan dan perlumbaan, sekadar menyertai acara pemanduan seperti yang dianjurkan oleh kelab National Auto Sport Association (NASA) atau acara yang ditawarkan khusus untuk pemilik GR tidak akan membatalkan perlindungan waranti.
"Berdasarkan semakan semula, kami telah menentukan bahawa pembaikan bagi kenderaan milik Alvarado di dalam kes ini adalah dilindungi di bawah perlindungan jaminan.

Perkembangan ini sudah pasti merupakan satu berita baik bukan sahaja untuk pemilik GR86 yang malang itu, malah untuk semua para pemilik kereta sports Toyota.
Di sesetengah pasaran seperti UK, GAZOO Racing memberikan jaminan sekadar menggunakan kereta berlogokan GR di dalam acara pemanduan berprestasi bukanlah satu alasan untuk menidakkan tuntutan waranti.
Sebelum ini, Alvarado melahirkan rasa kesal kerana kerosakan enjin tersebut tidak dilindungi oleh waranti hanya disebabkan oleh sekeping gambar GR86 miliknya menyertai acara pemanduan drift yang wujud di laman sosial.
Beliau bukan sahaja dinafikan untuk menuntut waranti enjin, malah dikenakan caj sebanyak $11,000 (RM49,026) untuk kos pembaikan enjin.
Sumber: Motor1