Rakyat tempatan pun boleh rasa!
Rakyat tempatan diberi peluang untuk merasai dan memiliki Prius apabila model generasi ketiga dijual di negara kita pada tahun 2010.
Bukan setakat Prius, UMW Toyota menawarkan pula model hatchback Prius C pada tahun 2012.
Prius C memang menarik, harga yang ditawarkan tidak sampai RM100 ribu!
Kemudian pada tahun 2015, UMW Toyota melancarkan Camry Hybrid dan merupakan model hibrid Toyota pertama dipasang di negara kita.
Berdasarkan sejarah ini kenderaan hibrid buatan Toyota telah bertapak selama 11 tahun di negara kita. Satu tempoh yang cukup lama!
Toyota Prius buat teksi
Di negara luar Toyota Prius digunakan sebagai teksi dan kenderaan e-panggilan.
Sedia maklum, kenderaan awam memang perlu tahan lasak.
Ada sebuah laporan mengatakan teksi Prius di Queensland, Australia dipandu sekitar 200,000 km setiap tahun.
Dua unit Prius berjaya mencecah 350,000 dan 500,000 sebelum bateri NiMH perlu diganti.
Itu untuk teksi yang perlu dipandu jauh berbanding pengguna awam yang mana jarak pemanduan lebih rendah.
Teknologi hibrid baharu
Sudah lebih dua dekat sejak Prius generasi pertama dijual pada tahun 1997.
Toyota sentiasa mempertingkatkan teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV) yang dimilikinya dan kini berada pada peringkat paling canggih.
Bateri Toyota Hybrid System (THS) kini berada dalam generasi keempat dan direka untuk tahan seperti usia kenderaan.
Selain itu, THS generasi keempat menggunakan komponen seperti bateri hibrid dan gandar transaxle yang lebih kompak dan efisien.
Hasilnya keseluruhan sistem menjadi lebih ringan dan penggunaan petrol lebih rendah berbanding generasi terdahulu.
Jaminan sampai lapan tahun!
Ini aspek yang penting, apabila sesebuah pengeluar yakin dengan teknologi dimiliki ianya mesti dibuktikan.
Untuk Corolla Cross Hybrid, UMW Toyota memberikan jaminan selama lapan tahun bagi bateri hibrid, penyongsang (inverter) dan Kawalan Pengurusan Kuasa ECU.
Menariknya, pandulah sejauh mana pun dalam tempoh lapan tahun kerana ianya merangkumi perbatuan tanpa had!
Selain itu, Corolla Cross Hybrid didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Orang dah bercakap pasal EV sekarang ini
Pada era orang bercakap tentang kenderaan elektrik (EV) di sana-sini masih relevan ke kereta hibrid sekarang ini?
Jawapannya sangat relevan. Untuk menggunakan EV, banyak perkara perlu diambil kira dan aspek paling penting adalah infrastruktur pengecasan.
Dengan kenderaan hibrid anda masih boleh mengisi petrol di stesen minyak yang memang sangat mudah didapati.
Banyak lagi faktor sebelum EV dapat digunakan secara meluas dan secara realistiknya kenderaan hibrid lebih bersesuaian buat masa sekarang.
Satu lagi perkara penting sebelum melompat ke EV, elok alami dahulu kereta hibrid seperti Corolla Cross Hybrid.
Pasal jaminan pula, macam yang dikatakan tadi UMW Toyota sendiri bagi jaminan lapan tahun.
Maknanya UMW Toyota yakin dengan barang yang dijual! Satu lagi fakta menarik, dah lebih 18 juta buah HEV Toyota terjual di serata dunia.
Penulis: Muhammad Md Tajudin