Venatus Evo S membawakan elemen penggayaan yang hampir serupa dengan model Venatus kuning terang yang diperlihatkan pada tahun lalu, namun ia hadir dengan beberapa sentuhan unik.
Seperti contoh, ia hadir dengan splitter depan yang lebih menonjol dengan penambahan sayap ekstra pada bahagian hujung, perubahan pada fender hadapan dengan liang ventilasi, diikuti dengan penambahan sayap belakang dan juga spoiler pada bahagian bumbung.

Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim tempa bersaiz 24 inci dengan kelebaran 10 inci di depan dan 12 inci di bahagian belakang.
Setelah itu, SUV ini dilayangkan dengan skema dwi-warna hitam dan putih yang khas, manakala ruang kabin pula didatangkan dengan kemasan upholsteri warna kuning terang dengan aksen putih pada roda stereng, alas lantai dan juga pintu.

Tiada sebarang perincian dibuat terhadap unit trenkuasa, namun Mansory menyatakan Urus ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 900 hp dan 1,100 Nm daya kilas, jauh lebih berkuasa berbanding model standard (641 hp/850 Nm), atau model Venatus yang dihasilkan oleh Mansory sebelum ini.
Pecutan 0-100 km/j hanyalah sepantas 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 323 km/j.
Mansory hanya akan menghasilkan 10 unit sahaja Urus 900 hp ini.