Presiden dan CEO Mazda Amerika Utara, Jeff Guyton menyifatkan detik bersejarah ini sebagai satu pencapaian penting dan menandakan pentingnya pasaran Amerika Utara terhadap jenama tersebut.
Ia juga memulakan lembaran baharu Mazda di pasaran tersebut, setelah mereka menghentikan operasi pemasangan tempatan pada tahun 2012 menerusi model Mazda6, dan hanya membawakan model import sahaja semenjak detik tersebut.
Kilang baharu Mazda Toyota Manufacturing itu bukan sahaja digunakan untuk pemasangan model Mazda CX-50, ia juga turut digunakan untuk pemasangan model Toyota Corolla Cross dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 300,000 unit setahun.
Mazda CX-50 muncul secara rasmi pada bulan November 2021 dengan membawakan penggayaan yang jauh lebih ranggi berbanding CX-5, dan disasarkan untuk golongan yang memiliki gaya hidup yang serba aktif.
Penawaran trenkuasa pula terdiri daripada enjin Skyactiv-G 2.5 liter aspirasi natural, diikuti enjin 2.5 liter turbo yang dipadankan dengan pacuan semua roda dan transmisi automatik enam kelajuan.