Tidak seperti model asal yang tidak hadir dengan cermin depan, McLaren Elva ini direka bagi mereka yang mahukan kehadiran cermin fizikal, dan disebabkan itu sistem Active Air Management (AAMS) telah ditiadakan daripada penawaran.

Disebabkan kehadiran cermin itu juga (serta penambahan penyeka kaca, jet penyembur air dan pelindung sinaran suria) menjadikan berat keseluruhan Elva bertambah sebanyak 20 kg berbanding versi yang tidak mempunyai cermin hadapan.
Biarpun tidak mengikut spesifikasi asal, McLaren Elva versi bercermin depan ini tetap mengikut semangat yang ditawarkan oleh Elva, seperti ketiadaan bumbung, tingkap sisi, dan cermin belakang, serta berat badan kurang dari 1,300 kg.

Dari segi kuasa, McLaren Elva didatangkan dengan nadi 4.0 liter bentangan V8 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 815 PS dan 800 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j di bawah tempoh tiga saat sahaja.
Ketika pelancaran pada tahun 2019, McLaren menyasarkan penghasilan sebanyak 399 unit, namun angka tersebut telah disemak kembali menjadi 149 unit sahaja untuk pasaran global, menjadikannya salah satu model McLaren yang paling terhad pernah dihasilkan.

Harga jualan? McLaren Kuala Lumpur tidak menyebut sebarang harga namun sebagai makluman harga asas McLaren Elva bermula dari 1.425 juta pound, atau RM8.1 juta).
Baca: McLaren Elva