Minyak enjin tiruan bernilai RM1.1 juta dirampas!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Minyak enjin tiruan bernilai RM1.1 juta dirampas dalam 33 serbuan dari 2019 hingga Mei tahun ini, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Kementerian, Datuk Azman Adam berkata,“Serbuan dilakukan berdasarkan laporan yang turut merangkumi aduan daripada pegawai yang mewakili syarikat minyak enjin.”
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Aduan itu adalah untuk produk yang ditawarkan untuk dijual di kedua-dua platform e-dagang dan di premis fizikal," katanya dalam satu kenyataan kepada The Star.

Beliau berkata tindakan yang diambil kementerian adalah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 di mana pengadu telah melakukan pengesahan sendiri sebelum melaporkan produk tiruan kepada pihak kementerian.

“33 kes itu dijalankan dengan kerjasama daripada pemilik cap dagangan produk. Siasatan masih diteruskan untuk beberapa kes,” tambahnya.
Azman berkata majoriti aduan yang diterima adalah dari Lembah Klang.

“Lokasi pemeriksaan dan serbuan selalunya berdasarkan aduan, isu viral dan pusat lokasi 'hotspot' barangan tiruan.

“Kita juga telah melakukan serbuan di kawasan simpanan yang tidak terletak di kawasan awam.

“Orang ramai mungkin tidak menyedari perkara ini dan beranggapan kementerian hanya menumpukan serbuan dan pemeriksaan di kedai runcit atau kawasan panas tertentu,” tambahnya.

Azman berkata kementerian akan terus memantau keadaan dan bekerjasama dengan syarikat minyak enjin, yang mempunyai pasukan penyiasat mereka sendiri yang memantau pasaran.

The Star baru-baru ini menekankan bahawa alat ganti enjin dan minyak motor tiruan telah membanjiri pasaran, terutamanya di platform e-dagang dan memberi amaran agar pemandu kenderaan lebih berhati-hati membuat pembelian.

Semakan pada platform e-dagang juga mendedahkan bahawa beberapa minyak enjin kereta,  yang kononnya daripada jenama terkenal, ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga biasa.

Pakar industri automotif  juga telah memberi amaran bahawa penggunaan minyak enjin tiruan boleh mengakibatkan kerosakan pada enjin kereta dalam jangka masa panjang.

Azman berkata mereka yang didapati bersalah mengimport, menjual atau memiliki barang tiruan boleh didenda sehingga RM10,000 untuk setiap produk serta penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau berkata hukuman itu akan meningkat kepada denda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap produk, penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan berikutnya.

Beliau juga berkata kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap suspek dengan membekukan akaun mereka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Beliau menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati semasa membeli minyak enjin dan berhenti menyokong produk tiruan tersebut.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penjualan minyak enjin palsu boleh menghubungi https://eaduan.kpdn.gov.my/, melalui talian penjagaannya di 1-800-886-800, 019 279 4317 atau 019 848 8000, atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kita merayu, buatlah laporan kepada polis atau KPDN kerana tujuan kita untuk meningkatkan…
Informasi
Beliau berkata syarikat yang terlibat diharap dapat membuat permohonan selewat-lewatnya 30 April…
Berita Domestik
Menurutnya, serbuan dibuat bersama wakil pemilik cap dagang berdasarkan aduan yang diterima. "…