Menurut Hiroshi Masuoka selaku pengarah pasukan Team Mitsubishi Ralliart berkata, "penyertaan Mitsubishi Motors di dalam AXCR dalam bentuk sokongan teknikal bakal mengukuhkan lagi keunikan produk kami, khususnya untuk model-model strategik ASEAN termasuk trak pikap dan SUV.
"Pasukan kami akan melakukan persediaan untuk memenuhi jangkaan para peminat, jadi nantikan kemunculannya," jelasnya yang juga juara dua kali Rali Dakar.
Jentera Triton Ralliart tersebut hadir dengan modifikasi seperti sistem suspensi yang tinggi, tayar off-road, pemasangan snorkel, cangkuk tunda, sangkar keselamatan, sepasang tayar simpanan, serta layangan liveri berwarna kelabu, merah dan juga hitam.
Spesifikasi kuasa nampaknya masih lagi disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Selain daripada Triton, Ralliart juga sebelum ini telah pun memperlihatkan Outlander PHEV (Mitsubishi Vision Ralliart Concept) pada Tokyo Auto Salon dengan kit badan yang lebih agresif, rim bersaiz 22 inci, serta trenkuasa yang telah ditala dengan output motor yang lebih bertenaga, serta talaan sistem pacuan semua roda yang lebih sporti.
Berdasarkan video mesej di atas, Hiroshi Masuoka turut menyebut pihak Ralliart bakal menawarkan talaan tersendiri kepada barisan model trak pikap dan SUV Mitsubishi, di mana setiap aspek seperti kadar ketegaran badan, kawalan serta prestasi off-road akan diambil kira dan dipertingkatkan berdasarkan pengalaman penyertaan di dalam acara rali tersebut.
AXCR akan mengambil tempat di Asia Tenggara bermula 6 hingga 12 Ogos.