Pandu Uji: Toyota Camry 2.5V 2019 - Bukan lagi untukmu Uncle

oleh HEZERI SAMSURI|
Hilang ingatan, mengarut dan gila.

Itulah respon-respon pertama apabila UMW Toyota mengumumkan harga Toyota Camry 2.5V baharu - RM189,900.

Secara jujur, kami juga tersedak biskut Marie yang dimakan bila mendengar harga tersebut dan paling mengecewakan, tiada varian lain ditawarkan.

Ini bermakna jika anda mahukan Camry, buat masa sekarang, cuma ada varian 2.5V sahaja yang ditawarkan dan pada harga itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
gigi gril

 

Namun begitu, laporan berkaitan Camry model baharu ini (kod XV70) begitu memberangsangkan. Baik dari US dan Eropah, kesemua laporan yang dibaca memberikan respon positif mengenai Camry ini.

Malah rakan kami dari Carlist.my juga berkata kepada kami, Camry baharu adalah satu model yang memang patut dipandu uji kerana penggunaan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang membuatkan model ini jauh lebih sedap.

 

 

Dalam pasaran tempatan, rasanya model yang hanya mampu melawan Camry ini dari segi rekabentuk, spek dan harga ialah BMW 318i (ya, BMW pun sudah boleh dibandingkan dengan jenama Jepun), Mazda6 2.5L (keduanya berharga dalam lingkungan RM210,000) dan Volkswagen Passat 1.8 TSI (RM 177,600).

Camry ini lebih mahal dari Volkswagen Passat? 

Ya, kerana itu kami tak lena tidur hendak mencubanya.

Setelah puas menunggu, akhirnya rakan-rakan di UMW Toyota menghantar teks keramat kepada Careta - "Kami ada satu unit Camry yang baharu didaftarkan dan Careta boleh pandu uji selama beberapa hari."

 

 

Dari luaran

Dari segi rekabentuk, Camry yang dipasang di Thailand ini memang nampak menyimpang jauh dari model-model Camry sebelumnya.

Dahulu, ia direka agar mampu membuatkan jantung pakcik-pakcik berusia 60 tahun ke atas bergetar tetapi Camry terbaharu ini sangat berlainan - ia sporty, agresif dan seksi - mampu menggegarkan iman anak gadis sunti pun.

Hud hadapan itu 1.6 inci lebih rendah dari generasi yang sebelumnya. Ia kemudian dipadankan dengan sepasang lampu hadapan LED yang juga diberikan sentuhan DRL LED bergarisan yang lebih kreatif susunannya dari LED sebaris yang digunakan oleh jenama Eropah.

 

 

Bentuk bamper hadapan "under breather" dipenuhi dengan gril yang mengingatkan penulis kepada pencukur Gillete Mach 3 - memang nampak sangat garang. Sepasang lampu kabus LED kecil terletak kedua-dua bucu bahagian bawah. Merisaukan kerana ia seperti mudah terkena batu lori.

Dari tepi, nyata ia adalah Camry yang paling dramatik pernah anda lihat. Camry terdahulu mempunyai bahagian sisi yang kosong seperti dinding hospital. Camry XV70 ini nampak rendah, panjang, penuh dengan garisan-garisan yang menggiurkan dan akan terus mengingatkan sesiapapun kepada sebuah Lexus.

 

 

Bahagian belakang juga 100 peratus lain diubah. Penggunaan LED yang lebih bergaya memberikan impak garang dan agresif. Bahagian bawah bamper belakang diberikan sentuhan plastik hitam dan sepasang corong ekzos di kiri dan kanan. 

Jika dibuang tulisan Camry itu, ramai pasti akan bingung tidak pasti model Toyota apakah yang sedang dicucuk. Mungkin jika kita letak logo Lexus pun, ramai yang akan percaya.

Roda aloi 18-inci yang cantik itu juga direka agar memenuhi ruang fender dengan menarik. Tidak lagi nampak ia sebuah sedan tinggi dan jinjang. Gaya "low slung" ini ialah sesuatu yang baharu untuk Toyota di bawah harga RM200,000. Berani Careta katakan, Altis nampak terlalu tua jika dibandingkan dengan Camry sekarang.

 

 

Di dalam Camry ini

Suasana yang berlainan turut dirasai apabila kita masuk ke kabinnya. Ia mengambil gaya bentuk Toyota generasi baharu, tetapi masih wujud elemen-elemen tradisional yang sebenarnya lebih praktikal.

Contohnya, bar-bar berkrom yang mengapit sesentuh 8-inci itu nampak seperti menggunakan butang-butang ala touchscreen tetapi sebenarnya tidak. Semua bar krom itu adalah butang tradisonal tetapi jika anda duduk dan fikirkan, butang fizikal lebih mudah digunakan ketika anda sedang memandu. 

 

center console camry

 

Penulis memang benci dengan kawalan skrin tanpa butang kerana kerap terpaksa meraba-raba untuk mengawal fungsi-fungsi remeh.

Tanyalah mana-mana pengurus bank untuk memilih antara kalkulator butang atau kalkulator touch screen di dalam telefon - pastinya kalkulator klasik dengan butang sebesar mata ikan bawal itulah yang didambakan mereka.

 

 

Bila malam menjelma, wujud efek mood-lighting LED di pintu dan di papan pemuka - khusus untuk menerbitkan suasana eksklusif yang sekali lagi akan mengingatkan anda kepada jenama-jenama Jerman. 

Sesekali ternampak bayangan panel kayu pada konsol tengah dan di papan pemuka di hadapan penumpang sebelah. Semuanya terasa eksotik di hujung jari anda.

Untuk pemandu, sistem paparan Head-Up Display (HUD) turut wujud, menambahkan lagi faktor menarik sedan ini.

 

 

Yang lebih menarik pada penulis sebenarnya ialah lampu suluh di sisi pintu. Puddle light ini selalunya diletakkan di bahagian bawah cermin sisi tetapi ia akan bergerak mengikut pergerakan pintu.

Untuk Camry, ia "ditanam" pada side-skirting dan menyuluh bahagian bawah pintu hadapan - memberikan nyalaan lampu yang cukup terang agar anda tidak terpijak lecak atau najis kucing/anjing sebelum melangkah masuk ke dalam.

Sebelum anda melabuhkan punggung ke tempat duduk, stereng Camry itu secara automatik naik ke atas sedikit untuk memudahkan anda masuk - seperti di dalam sebuah Mercedes-Benz E-Class atau BMW 5-Series.

 

 

Ini mungkin tiada gunanya bagi pemandu yang kurus-kering tetapi untuk penulis yang mempunyai tubuh sasa serta peha yang berotot penuh lemak, ciri ini sangat dihargai. 

Butang program untuk tempat duduk elektrik itu juga cuma memerlukan satu sentuhan agar ia bergerak kepada posisi yang telah disimpan di dalam memorinya (ada dua simpanan memori). Tidak perlu jari sentiasa menekan butang sehingga ia habis bergerak. 

Kami juga dapati, setelah puas memandu jauh, tempat duduk Camry ini selesa dan mampu menampung susuk badan penumpang dengan lebih baik. Malah, berani kamu katakan tempat duduk ini nampaknya sudah lebih ke arah segmen D Jerman - selesa untuk perjalanan jauh.

Ia empuk di tempat yang sepatutnya dan keras memangku pada lokasi strategik. Pemanduan 300 km tanpa henti langsung tidak memenatkan. 

 

 

Sistem audio juga antara elemen yang mengagumkan kami - mutu bunyi dari sistem JBL lengkap dengan 9-speaker termasuk subwoofer ini bukan calang-calang. Ia lebih baik dari yang digunakan pada Mazda (Bose ya) dan Passat. Varian-varian kemasukan "entry level" BMW atau Mercedes-Benz sendiri tidak akan ada sistem audio sebaik ini.

JBL pada Camry itu menghasilkan bunyi yang sangat realistik, dengan imbangan bunyi "bass" yang tidak melampau dan "treble" yang cukup-cukup tanpa berdesing tak tentu pasal.

Mid-range terhasil dari speakernya pula mampu membuatkan kita terpegun, mewujudkan staging bunyi dari hadapan yang sangat "natural", seolah-olah Zizi Kirana berada di hadapan kita bertanya Siapa Yang Bap Bap. 

Mmmm... 

 

 

Baiklah, lupakan sebentar perkara-perkara seperti rekabentuk, keselesaan, sistem audio dan Zizi Kirana. 

Kita tumpukan kepada pemanduan kerana jika benar Toyota sudah mula menggunakan jenama Jerman sebagai penanda aras mereka, Camry ini perlu mampu dipandu seperti kereta mat saleh mat saleh itu.

Untuk itu, tiga laluan telah ditetapkan - bandar, lebuhraya dan jalan persekutuan dan jarak kesemua perjalanan perlu melepasi 1,000 km.

 

 

Di jalan bandar

Pemanduan sesi bandar merangkumi tiga kawasan bandar - Shah Alam, Kuala Lumpur dan Segamat.

Di Shah Alam dan Kuala Lumpur, ia memang sebuah sedan segmen D tulen - jauh lebih selesa dari pesaingnya seperti C200 dan juga Passat.

Selesa di sini bermakna ia tidak bising, ia tidak bergegar dan ia membuatkan anda terasa seperti berada di sebuah dunia berasingan. Perasaan ini hanya kami dapat kecapi apabila memandu sebuah E-Class kerana C-Class masih terasa kasar dan keras.

Untuk bandar kecil seperti Segamat, sensor-sensor parking dan kamera undur serta stereng yang ringan pada kelajuan perlahan cukup membantu.

 

auto hold

 

Tidak ada masalah untuk mengemudikan Camry ini di lorong-lorong kecil dan lot-lot parkir yang sempit, seperti di hadapan Wisma Jakel di Segamat atau menyelit mencari ruang di Plaza Masalam di Shah Alam.

Lubang dan permukaan jalanraya yang tidak rata diserap dengan sangat baik sehinggakan orang rumah sendiri memuji - dan beliau jarang memuji sebuah kereta Jepun.

Kebolehan enjin 2.5L itu untuk memecut di persimpangan juga masih boleh diterima, walaupun enjin 2AR-FE 2,494 cc ini adalah dari Camry generasi sebelum itu.

 

 

Di lebuhraya

Walaupun Malaysia tidak mempunyai autobahn, umum mengetahui jalinan lebuhraya dan kualitinya adalah yang terbaik di Asean.

Kerana itu, normal untuk ramai memandu pada kelajuan malar melebihi dari 110 kmsj. 

Camry baharu ini mungkin tidak mampu pergi selaju yang lain (kombinasi enjin 2.5L dan transmisi 6-kelajuan automatik itu masih sedikit kasar dan lembab) tetapi yang pasti, tidak ada perasaan melayang-layang terhuyung-hayang bagai kapal layar seperti dahulu.

 

stereng camry

 

Ia melekat ke jalanraya, walau apapun kelajuan anda. Stereng juga terasa berat dan memberikan respon yang meyakinkan kepada pemandu. Ia tidak mempunyai masalah "lagging" dan terasa seperti stereng hidraulik lama. "Centering" stereng juga lebih semulajadi dan tidak dipaksa-paksa.

Sistem brek teruji beberapa kali apabila ada pemandu lori atau bas yang memberikan lampu isyarat membelok selama satu saat dan kemudian terus memancung masuk ke laluan kami. 

Ini memang normal, terutama di lebuhraya Plus hala ke selatan, selepas Pagoh. Mungkin mereka perlu menggunakan lajak yang ada untuk memotong, cuma bila terlalu kerap berlaku, panas juga rasa di hati.

 

 

Di jalan persekutuan

Ini ialah ujian sebenar untuk melihat samada sistem gantungan dan kerangka serta enjin mempunyai keserasian atau tidak.

Kereta-kereta Jerman memang terbukti mantap di dalam ujian begini tetapi dari segi keselesaan, banyak sebenarnya masih terlalu keras.

Kami memandu di kawasan utara Johor dan di Negeri Sembilan - di mana laluan persekutuannya nyata sempit dan penuh dengan selekoh-selekoh yang lazat.

Keserasian antara kerangka dan sistem gantungan memang penting - dan kami dengan jelas dapat merasakan platform TNGA dan sistem gantungan (Mc Pherson di hadapan; double-wishbone di belakang) pada sedan Jepun ini sangat serasi.

 

 

Kebanyakan sedan Segmen D dari Jepun akan menyuarakan bunyi protes bila selekoh diambil pada kelajuan yang sedikit tinggi.

Bila jalanraya itu penuh dengan selekoh tanpa henti, olengan badan bila ia beralih dari kiri ke kanan dan seterusnya akan menghasilkan understeer yang membosankan. 

Trail braking untuk masuk ke dalam selekoh menjadi kelaziman kerana sistem gantungan yang nyata tidak mampu melayan input agresif dari stereng. 

 

 

Tidak pada Camry 2.5V. 

Toyota seolah-olah memberi arahan kepada juruteranya untuk menghasilkan sebuah sedan yang sporti dan khusus untuk bermain di selekoh-selekoh.

Camry ini memberikan maklumbalas atau "feedback" dari stereng yang telus, brek-brek yang efisien dan progresif serta sistem gantungan dirasakan benar-benar bekerjasama dengan platform kereta ini.

Setiap selekoh diambil dengan lancar, dan Camry ini dengan segera bersedia untuk mengambil selekoh seterusnya. 

 

driving camry

 

Penulis terus teringatkan sebuah Lotus - cara ia mengawal peralihan berat ketika di selekoh dan semasa membrek sangat baik. Ia seolah-olah satu tarian di mana setiap gerakan dilakukan secara semula jadi. 

Malah Mercedes-Benz E250 terpaksa bekerja keras bila penulis memaksa masuk ke selekoh tajam dengan kelajuan tinggi tetapi Camry ini, bersahaja seperti tidak ada apa-apa berlaku.

 

 

Sekali-sekala kami terasa sedikit terkilan juga dengan enjin dan transmisi itu kerana ia antara terlalu kasar atau terlalu lembab. Namun begitu, selepas membiasakan diri dengan enjin itu, keseronokan pemanduan terus membuatkan kami melupakan masalah itu.

Penggunaan bahan api tidak begitu membanggakan, setangki bahan api 60 liter itu boleh melebihi 500 km tetapi jika dipandu dengan sopan. Selalunya, dengan pengendalian sebaik ini, jarang dapat dipandu dengan sopan dan bila enjin itu diteran, penggunakan bahan api meningkat.

Kelengkapan keselamatan nampaknya lengkap - tujuh beg udara, sistem brek kecemasan autonomi, Rear Cross Traffic dan Lane Departure Alert adalah antara yang wujud pada sedan 2.5L ini.

 

 

Adakah ia sempurna tanpa cacat cela?

Sudah pastinya tidak! Tidak ada kereta yang sempurna - Ferrari dan Rolls Royce sendiri mempunyai beberapa ciri yang "meh" dan fanatik jenama-jenama itu sendiri mengaku.

Perkara pertama yang membuatkan kami geram ialah sistem central locking Camry ini. Ia seolah-olah diambil dari Vios. 

Bila kita berhenti dan keluar, hanya pintu pemandu sahaja dibuka. Untuk membuka pintu lain dari luar, butang kunci pintu utama perlu ditekan. Mungkin ia boleh diprogramkan untuk dibuka semua pintu tetapi kami tidak sempat belajar mengenainya.

 

 

Camry ini juga menggunakan sistem Keyless, di mana kunci tidak perlu digunakan jika anda mahu membuka pintu. Namun begitu, ini hanya berlaku jika anda membuka pintu pemandu sahaja kerana pintu-pintu lain tidak mempunyai butang atau sensor.

Ciri kedekut ini mengingatkan kami kepada Proton Iriz Premium, di mana pintu pemandu sahaja dilengkapi dengan butang pembuka. Yang lain, perlu keluarkan kunci dan tekan butang. 

Kebanyakan fungsi pada skrin sesentuh dan juga panel LCD di meter Optitron Camry ini hanya boleh diakses sekiranya kereta dalam keadaan pegun. Jika ia sedang bergerak, anda hanya dibenarkan membuat operasi-operasi biasa. Ini lebih kepada keselamatan tetapi hanya Toyota sahaja yang melakukannya.

 

 

Rekabentuk tajam dan agresif Camry ini juga tidak begitu popular dengan pemilik Camry lama yang berusia. Respon beberapa orang Haji yang memiliki Camry lama berkata model baharu kelihatan terlalu sporti dan terlalu garang.

"Segan nak bawa ke surau, macam pinjam kereta anak," ujar seorang. 

Berkaitan enjin, rata-rata yang kami tanyakan lebih suka kepada enjin lama kerana ia terbukti dan mereka mahukan risiko kerosakan yang rendah.

"Enjin lama sudah terbukti tiada masalah. Buat apa tukar yang baharu yang kita sendiri tak pasti lasak atau tidak," jawab Rahman Yassin, jurutera berusia 45 tahun dari Labis yang berhenti di stesen minyak Jementah untuk melihat Camry pinjam kami itu.

 

 

Mungkin Toyota terpaksa mengubah lanskap segmen D ini kerana secara realiti, sedan segmen C dan D sudah terhakis dengan jualan model-model SUV. Ramai yang membeli sebuah SUV dan tidak lagi mahu membeli sedan.

Oleh kerana itu sesuatu yang drastik perlu dilakukan dan tidak ada apa yang lebih drastik dari menjadikan sebuah Camry kepada sebuah sedan besar yang selesa dan sporti.

Harganya? 

Dari melihat ia sebagai sebuah Camry yang mahal, kami rasakan ia lebih sesuai dipandang sebagai sebuah Lexus yang mampu milik.

Kami suka.

 

 

Spesifikasi Toyota Camry 2.5V 2019

  • Enjin
    • 2,494cc 4-silinder 16-injap DOHC Dual VVT-i dan ACIS
  • Kuasa maksimum
    • 184 PS @ 6,000 rpm
  • Daya kilas maksimum
    • 235 Nm @ 4,100 rpm
gear kenob

 

  • Transmisi
    • 6-kelajuan automatik dengan Super ECT dan Sequential Shifter
  • Ciri keselamatan (5-bintang Asean NCAP)
    • 7 beg udara, ABS dengan BA, VSC, Pre-collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA) with Steering Assist, Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Automatic High Beam (AHB), Blind Spot Monitor (BSM) with Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Hill-start Assist Control (HAC), Emergency Stop Signal (ESS), Tyre Pressure Monitor, kamera undur, ISOFIX
  • Harga
    • RM189,900 tanpa insuran; waranti 5-tahun tanpa had perbatuan

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Toyota, air boleh menyebabkan berlakunya litar pintas pada komponen elektronik selak pintu…
Berita Global
  Tacoma memiliki muka depan yang rugged dan menarik manakala 4Runner mewarisi ciri tersebut dan…
Berita Global
Ia berikutan dengan isu skandal penipuan ujian keselamatannya yang dilaporkan sebelum ini. Toyota…