Satu perkara yang menarik perhatian kami adalah timbulnya pendaftaran sebuah lagi model crossover di laman web Pengkalan Data Kekayaan Intelektual (PDKI Kemenkumham), iaitu Toyota Yaris Cross!
Berdasarkan laporan daripada Autonetmagz, nama Yaris Cross telah didaftarkan oleh Toyota Motor Corporation pada 17 Mei 2020 (nombor pendaftaran IDM000736596) di bawah kategori kenderaan dengan penggerak empat roda yang digunakan untuk off-road atau jalan raya, serta mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi.
Toyota Yaris Cross yang dilancarkan pada tahun lalu berkongsi platform TNGA-B dengan model Yaris generasi baharu, di mana pada ketika ini hanya dikhususkan untuk pasaran Eropah, serta beberapa pasaran lain seperti Australia dan Jepun.
Sementara Yaris yang wujud di beberapa pasaran Asean menggunakan platform generasi lama Toyota B sejak telah digunakan sejak tahun 2005 sehinggalah sekarang, sebelum ia digantikan dengan platform TNGA-B.
Merujuk kepada kategori dalam laman web PDKI itu tadi, model Yaris yang hadir dengan sistem pacuan semua roda adalah Yaris Cross Hybrid yang menampilkan enjin 1.5 liter petrol (90 hp/120 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (79 hp/141 Nm), serta sistem pacuan semua roda E-Four yang menjanjikan penggunaan bahan api serendah 3.2 liter untuk setiap 100 km (data WLTP).
Terdapat kemungkinan besar kemasukan Yaris Cross Hybrid di negara jiran Indonesia adalah untuk tujuan pengujian di dalam iklim khatulistiwa, sebelum model tersebut dipasang secara rasmi (CKD) di mana-mana kilang Toyota di Asean.
Sebagai peringatan, laporan Careta terdahulu ada menyebut UMW Toyota (selaku pengedar rasmi kenderaan Toyota) turut merancang untuk memasang kereta hibrid elektrik di kilang Bukit Raja dengan pelaburan bernilai RM270 juta.
Jadi adalah tidak mustahil Toyota Yaris Cross bakal menjadi sebahagian daripada model-model yang dipasang di kilang Bukit Raja selain daripada model-model hibrid Toyota yang lain.
Sumber: Autonetmagz