Buat yang bercadang untuk pulang beraya nanti, lokasi pengecas EV Gua Musang letaknya di Hentian Gua Musang (Baru). Daripada gambar yang dikongsikan, kelihatan model pengecas yang digunakan adalah Autel MaxiCharger DC 47kW, unit yang sama boleh anda temui di The Vertical, Bangsar South. Unit tersebut mempunyai dua nozel CCS2 untuk mengecas dua EV secara serentak.
Kelebihan pengecas DC Handal berbanding operator yang lain adalah pengguna tidak perlu memiliki akaun ataupun diwajibkan memasang aplikasi tertentu kerana pengecas ini menerima pembyaran menggunakan kad kredit ataupun kad debit.
Sebagai alternatif, pengecas ini juga boleh diaktifkan menggunakan aplikasi ChargEV dan JomCharge. Kadar bayaran untuk pengecas EV DC Handal ini adalah RM1.30/kWh.
Disebabkan pengecas ini menggunakan konsep pengagihan kuasa secara dinamik, anda mungkin tidak akan merasai kuasa penuh 47kW apabila kedua-dua nozel sedang digunakan, sebaliknya kuasa diagihkan sama rata kepada dua nozel mengikut keperluan.