Perang harga EV China - kenapa Mitsubishi jadi mangsa?

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita Mitsubishi keluar dari pasaran automotif China memang tidak mengejutkan.

Malah, ada yang "gatal mulut" mengatakan jenama itu terpaksa akur dengan kebangkitan jenama-jenama China yang "lebih berteknologi tinggi".

Untuk mereka di dalam industri terbabit, ia lebih merupakan kepada ketidaksediaan syarikat automotif Jepun dalam pasaran kenderaan elektrik atau EV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini ditambah lagi dengan faktor di mana China mahu berubah kepada EV sepenuhnya kerana tidak mahu bergantung kepada sumber petroleum luar.

Namun begitu, kajian pasaran menjerumus kepada sebab-sebab yang lebih mendalam.

Antaranya ialah kerajaan China sendiri yang mahu negara komunis itu bangkit menjadi kuasa automotif baharu, dan dalam usaha itu, ia memberikan banyak insentif kepada syarikat-syarikat kenderaan utama di sana.

Insentif yang tidak dinyatakan secara rasmi itu memberikan kelebihan kepada jenama tempatan untuk lebih berdaya saing dan paling penting sekali, mereka mampu menurunkan harga jualan.

 

 

Tindakan ini pastinya memberikan saingan tidak adil kepada jenama-jenama luar, tetapi sesuatu yang tidak menghairankan kerana Malaysia sendiri memberikan insentif-insentif istimewa untuk jenama-jenama tempatannya.

Eropah sendiri mahu siasatan dilakukan kerana mahu keadilan dari segi harga kenderaan EV untuk pasaran mereka, demi menjaga syarikat-syarikat dari rantau tersebut.

Harga sebenar kenderaan adalah satu rahsia syarikat, dan kita sebagai pengguna tidak dapat mengetahui harga sebenar produk EV itu. Apa yang pasti, kita disogokkan dengan teks-teks yang menyatakan teknologi bateri dan proses pembuatannya masih tinggi dan kerana itu, harga EV lebih mahal dari kenderaan berenjin.

Bagi fanatik EV, ini satu yang menggembirakan kerana mereka beranggapan harga EV sudah lebih murah dan sepatutnya semua pengguna perlu membuang kereta-kereta berenjin petrol atau diesel dan bertukar kepada EV.

Tidak menghairankan kerana seperti pentaksub politik, segala logik ditolak ke tepi. Yang pasti, Malaysia masih belum lagi 100 peratus bersedia untuk jumlah EV yang terlalu tinggi.

 

 

Masalah pembuangan bateri terpakai masih tidak menjadi fokus utama, dan kita boleh lihat sendiri bagaimana vape dengan bateri yang telah rosak atau habis dibuang sesuka hati tanpa pengasingan.

Untuk EV dengan bateri yang jauh lebih besar, perlu ada cara dan tempat untuk membuang bateri tersebut atau mungkin dikitar semula. Ini semua masih dalam samar-samar walaupun desas-desus ia akan diumumkan sudah bermula sebelum zaman COVID19 lagi.

Bagi Mitsubishi, memang pilihan mereka untuk keluar dari pasaran China adalah satu pilihan yang tidak boleh dinafikan lagi. 

Syarikat itu masih beroperasi di China dengan hanya satu entiti sahaja, iaitu GAC-Mitsubishi dengan kilang pemasangan mereka di Hunan sementara Mitsubishi Corp dan Mitsubishi Motors akan memberhentikan pelaburan mereka di sana.

Tahun lalu, jualan Mitsubishi di China turun lebih kurang 60 peratus dari tahun sebelumnya.

Tanpa barisan produk EV dengan harga yang menarik, dan tanpa sebarang insentif yang kukuh, syarikat bekas rakan kerjasama Proton itu sudah beroperasi dalam kerugian untuk sekian lama di negara tersebut.

Keluar dari China adalah tindakan yang boleh menghentikan terus kerugian dari berlaku. 

 

 

Apa yang terjadi kepada Mitsubishi juga menunjukan betapa perlunya Jepun untuk menambah produk-produk EV mereka, walaupun saya pasti mereka masih sangsi dengan teknologi Battery EV (BEV).

Ada banyak persoalan yang tidak dapat dijawab, seperti contoh apakah bateri merupakan solusi terbaik, dan bagaimana dengan susut nilai kenderaan, atau bagaimana cara untuk mengatasi ia dari terbakar dan apa akan jadi dengan pusat servis mereka.

Namun Jepun dilihat terpaksa beralih arah ke EV kerana ia sudah menjadi satu tindakan untuk menyelamatkan diri sebelum produk mereka menjadi tidak relevan lagi.

Eropah dan US semakin kuat mempromosikan EV dan tekanan dari sektor pencukaian yang berteraskan pelepasan karbon hanya memburukan senario Jepun.

Untuk gergasi seperti Toyota, ia sudah mengumumkan beberapa perubahan besar untuk menerima pasaran EV. 

Tetapi untuk jenama lain seperti Nissan, Honda, Mazda dan sebagainya, mereka perlu menghasilkan lebih banyak model-model EV demi untuk kekal berdaya saing.
 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam erti kata lain, ia lebih banyak menghabiskan masa di pasaraya dan pusat membeli-belah dari…
Berita Domestik
Antaranya ialah tempat duduk hadapan serba baharu dengan lencana Ludicrous Mode, spolier belakang…
Berita Domestik
Perkongsian strategik ini menyediakan pentas bagi kesediaan NAZA Auto untuk menjadi pemain yang…