Malaysia menjadi antara negara di ASEAN yang terawal untuk menerima model EV pertama dari Rolls-Royce, yang kini merupakan EV paling mewah di dunia.
Spectre hadir sebagai sebuah EV dengan gaya badan coupe dua pintu bersama empat tempat duduk, di mana ia memiliki dimensi 5475 mm panjang, 2144 mm lebar, 1573 mm tinge dan 3210 mm, dengan berat keseluruhan sebanyak 2890 kg, iaitu hampir mencecah 3 tan.
Walaupun menjadi EV pertama RR, Spectre tidak menggunakan platform khusus untuk EV, di mana ia masih dibangunkan dengan platform Architecture of Luxury yang sama seperti model SUV Cullinan dan Phantom generasi kelapan.
Tiada lagi nadi V12, Spectre dikuasakan oleh dua motor elektrik jenis Separately Excited Synchronous Motor yang dipasangkan di roda hadapan dan belakang, menjadikannya pacuan semua roda (AWD).
Motor itu dikuasakan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 102 kWj yang membolehkan jarak gerak sehingga 530 km (WLTP) pada sekali cas penuh.
Secara keseluruhan, Spectre mampu menghasilkan sehingga 584 HP dan 900 Nm, dengan kemampuan untuk memecut dari 0-100 kmj dalam masa 4.5 saat sahaja.
Dari segi pengecasan, Spectre mampu menyokong pengecasan pantas DC 195 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10-80 peratus dalam masa 34 minit sahaja.
Pengecasan pantas DC 50 kW pula membolehkan ia dicas dari 10-80 peratus dalam masa 94 minit, manakala pengecasan AC 22 kW mampu mengecas dari 0-100 peratus dalam masa 5 jam 30 minit.
Pada bahagian suspensi pula, ia menggunakan suspensi jenis planar yang dibangunkan dari Rolls-Royce Phantom, dengan kemampuan untuk memisahkan bar anti-oleng bagi membolehkan pergerakan keempat-empat tayar yang lebih bebas, sekaligus menawarkan pemanduan yang lebih lancar di atas laluan yang tidak rata.
Dari segi rupa luaran, bahasa rekaan yang digunakan masih mengekalkan identiti Rolls-Royce, tetapi dengan rupa yang lebih futuristik.
Ia menampilkan rekaan jeriji yang paling lebar pernah dipasang pada model RR dengan sistem pencahayaan 22 LED, diikuti patung Spirit of Ecstasy yang lebih aerodinamik.
Spirit of Ecstasy yang direka khas untuk Spectre itu telah memakan masa sehingga 830 jam, di mana ia membantu menghasilkan kadar pekali seretan paling rendah dalam sejarah Rolls-Royce, iaitu sekitar 0.25 Cd sahaja.
Satu lagi sejarah baharu buat Rolls-Royce, model Spectre dilengkapi rim bersaiz 23 inci, di mana ia merupakan saiz paling besar pernah digunakan selama 100 tahun sejarah Rolls-Royce.
Pada bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan skrin sentuh infotainment dan kluster instrumen digital penuh, dengan ciri lampu galaksi bintang Starlight pada headliner menjadi tarikan utama.
Turut didatangkan sebagai pilihan, lampu galaksi bintang Starlight itu juga boleh dilengkapkan pada panel pintu, di mana panel pintu sahaja menampilkan sehingga 4,796 titik bercahaya menggunakan gentian optik.