Biarpun berdepan dengan risiko senarai hitam, ia tidak menghalang seorang pemilik Spectre untuk menjual model tersebut menerusi laman Bring A Trailer.
Kereta elektrik dengan jarak perbatuan cuma 159 km itu didatangkan lengkap dengan Launch Package, diikuti dengan kemasan Tempest Grey, garisan koc jingga Mandarin, serta set rim tujuh jejari bersaiz 23 inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero.
Ruang kabin pula menampilkan upholsteri kulit warna dua tona Scivaro Grey/Charles Blue, kemasan jahitan jingga Mandarin, aksen kayu liang terbuka pada panel pintu, dan ciri wajib pada sebuah Rolls-Royce - headliner kulit Shooting Star.
Ciri lain termasuklah fungsi pemanas, pengudaraan dan urutan pada tempat duduk, sistem kawalan iklum automatik empat zon, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, sistem bunyi Bespoke Audio 415 watt dengan 16 pembesar suara, dan tidak ketinggalan payung Scivaro Grey yang tersimpan pada fender hadapan.
Secara standard, Rolls-Royce Spectre dikuasakan oleh sepasang motor elektrik menghasilkan 584 hp dan 900 Nm, dipadankan dengan pek bateri 120 kWh dengan jarak gerak sejauh 428 km untuk sekali cas penuh.
Setakat artikel ini ditulis, harga bidaan di laman Bring A Trailer sudah mencecah $380,000 (RM1.79 juta) dan akan tamat dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.
Baca: Rolls-Royce Spectre mendarat di Malaysia, harga RM2 juta
Baca: Penjual semula Rolls-Royce Spectre akan disenaraihitamkan
Sumber: Bring A Trailer