
Toyota sekarang ini sedang giat mengikat kerjasama dengan pengeluar Jepun lain. Pada bulan lalu Toyota baru sahaja membuat perjanjian dengan Suzuki dengan kedua-dua syarikat memiliki saham di antara satu sama lain.
Di Amerika Syarikat Toyota membuat usahasama dengan Mazda bagi membina kilang baharu.
Sebelum mengumumkan perjanjian baharu dengan Subaru, kedua-dua syarikat ini pada Jun lalu bersetuju untuk menjalin kerjasama bagi membangunkan platform khusus untuk kereta elektrik bateri (BEV) dan model BEV baharu.
Kedua-dua model itu akan menggunakan teknologi AWD Subaru dan elektrifikasi Toyota.
Dengan perjanjian baharu perikatan Toyota dan Subaru dengan menggunakan kekuatan masing-masing akan membangunkan secara bersama model pacuan AWD yang menawarkan sensasi pemanduan semua roda.

Toyota dan Subaru turut memaklumkan selepas diaplikasikan pada Subaru Crosstrek, Sistem Hibrid Toyota akan digunakan pada model-model Subaru lain.
Satu berita yang mengujakan apabila Toyota dan Subaru turut mengumumkan pembangunan bersama model baharu Toyota 86 dan Subaru BRZ.
Banyak spekulasi yang timbul mengenai model ini dan kesinambungannya maka dengan pengesahan dari Toyota dan Subaru sendiri para peminat boleh bergembira.
Toyota 86 dan Subaru BRZ bukan model dengan jualan tinggi dan keberanian kedua-dua syarikat dalam mengambil risiko dan membuat pelaburan dalam pasaran yang tidak menentu adalah sesuatu yang harus dipuji.

Mengulas mengenai perjanjian baharu ini, Akio Toyoda, Presiden Toyota di antara lain memuji teknologi AWD Subaru.
"Saya sendiri adalah seorang pemandu rali dan melalui pengalaman saya berlatih keras dengan Impreza, saya dapat merasai dengan ketara kehebatan teknologi AWD Subaru.
"Pada masa yang sama kami di Toyota berusaha berhabisan dalam menyempurnakan teknologi AWD di antaranya melalui penyertaan di dalam Kejohanan Rali Dunia."
Sebagai sebuah syarikat automobil di antara yang terbesar di dunia, Toyota bertuah mempunyai mempunyai seorang ketua yang tahu apa dibuatnya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin