Selamat datang MINI Cooper 2024, kekal dengan enjin petrol!

oleh Muhammad Md Tajudin|
MINI Cooper S 2024
MINI Cooper S 2024
Di sebalik kemeriahan penawaran kenderaan elektrik (EV) dan juga insentif dari pemerintah di serata dunia, mungkin ada yang sudah pasrah.

Monolog yang bermain di fikiran; "Satu hari nanti mungkin kereta aku yang seterusnya ialah EV...".

Sebelum tempoh itu muncul, masih ada pengeluar yang tegar dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Terbaru MINI memperkenalkan MINI Cooper C dan MINI Cooper S masing-masing dengan enjin 1.5 liter B38 turbo tiga silinder dan 2.0 liter turbo B48.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024
MINI Cooper Electric
MINI Cooper Electric 2024

 

Walaupun baharu, kedua-dua model tersebut diubah dari MINI Hatch F56 sedia ada.

MINI berjaya membentuknya supaya mirip MINI Cooper Electric yang diperkenal pada September 2023.

Model terbaru ini sebenarnya hasil kerjasama dengan GWM dari China.

MINI Cooper 2024 ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Classic, Exclusive dan Sport.

 

MINI Cooper S 2024

 

Prestasi enjin 2.0 liter MINI Cooper S ditingkatkan kepada 204 kuasa kuda (hp) dan tork 300Nm. 

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan 6.6 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 241 km/j.

Enjin 1.5 liter MINI Cooper C pula menghasilkan 156 hp dan tork 230NM dengan kelajuan maksimum 224 km/j. Pecutan 0 sehingga 100 km/j mengambil masa 7.7 saat.

Pada bahagian luar, walaupun mirip MINI Cooper Electric namun terdapat perbezaan ketara seperti tukup enjin, pintu, cermin sisi dan pelbagai lagi.

Ringkasnya, kedua-dua MINI Cooper EV dan ICE nampak sama seperti corak lampu, bingkai jeriji dan tidak menggunakan riasan krom tetapi hakikatnya berbeza. 

 

MINI Cooper S 2024

 

Ciri-ciri MINI Cooper mengikut varian:

Classic

  • Tampil sederhana dan menonjolkan ciri utama seperti logo sayap MINI dalam warna Vibrant Silver
  • Lima warna seperti Ocean Wave Green dan Sunny Side Yellow dengan dua bumbung lain warna
  • Tiga pilihan rim

Exclusive

  • Tambahan warna British Racing Green
  • Jeriji depan Vibrant Silver
  • Dalaman Vescin Nightshade Blue, pelapik siling gelap
  • Rim 17 inci U Spoke Silver, dua pilihan rim 18 inci

Sport

  • Sports Transmission dengan pedal gear pada stereng
  • Jeriji corak heksagon warna hitam kilat
  • Spoiler belakan dengan bilah udara
  • Rim aloi 18 inci JCW Lap Spoke dua tona
  • Angkup brek hitam dengan logo JCW
  • Bumbung Chili Red dan pilihan grafik merah dan hitam pada bonet
  • Riasan hitam dan merah JCW pada papan pemuka
  • Stereng dengan balutan separa Vescin dan riasan merah

Dalaman

 

MINI Cooper S 2024

 

Seperti MINI Cooper Electric tampil ringkas dengan pengaruh Mini klasik, begitu juga model baharu ini. 

Keseluruhan dalaman ditumpukan pada tiga bahagian sahaja seperti stereng, skrin OLED bulat saiz 24 inci dan panel suis togol.

Daripada tiga perkakasan tersebut, skrin bulat mendominasi keseluruhan pandangan dan menjadi pusat kawalan dan paparan utama.

Fungsi kereta boleh dibuat melalui sentuhan jari atau arahan suara dan menggunakan MINI Operating System 9.

 

MINI Cooper S 2024

 

Pemandu boleh menggunakan arahan suara "Hey MINI" untuk menghidupkan MINI Intelligent Personal Assistant (IPA).

Untuk mendapatkan lebih ruang, perkakasan seperti brek parkir, pemilih gear, kawalan bunyi dan sebagainya ditempatkan pada panel suis togol.

Dari segi kebolehgunaan, kerusi belakang boleh dilipat dengan pisahan 60:40 dan ruang simpanan 210 liter bertambah kepada 725 liter.

 

MINI Cooper S 2024

 

Satu lagi sistem canggih pada MINI Cooper 2024 ialah MINI Experience Modes dengan tujuh pilihan iaitu Core, Green, Go-Kart, Personal, Vibrant, Timeless dan Balance.

Masing-masing mempunyai keistimewan sendiri seperti suasana dalaman, grafik dan pelbagai lagi.

Mod Go-Kart sebagai contoh menyerlahkan warna antrasit (batu arang) dan merah dan paparan analog yang dipengaruhi John Cooper Works.

Dari segi keselamatan, MINI Cooper dilengkapi pelbagai teknologi seperti fungsi Keluar Selamat sebagai ciri asas.

 

MINI Cooper S 2024

Selain itu, MINI menawarkan pakej Driving Assistant Plus dengan fungsi pengekalan lorong, kawalan kelajuan automatik dan jarak.

Teknologi tersebut berfungsi dengan 12 penderia ultrasonik dan empat kamera padangan keliling.

MINI Cooper S dijual pada harga 26,700 pound (RM160,527) dan 22,300 pound (RM134,073) untuk Cooper C.

Penulis: Muhammad Md Tajudin


 

MINI Cooper S 2024

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Bukan sahaja lebih banyak ruang masuk dan keluar, model terbaru ini untuk pelanggan yang mahu…
Pelancaran
Ini bermakna ia lebih praktikal dan dengan jarak roda yang lebih panjang, pengendalian juga semakin…
Berita Global
  Pada September MINI Cooper Electric diperkenal dan seperti namanya adalah sebuah kenderaan…