Setiap RM1 subsidi petrol, 53 sen disalurkan ke golongan T20, hanya 15 sen dimanfaat ke B40

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Kerajaan telah memulakan proses untuk menggantikan subsidi pukal petrol dan minyak masak dengan pendekatan lebih bersasar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, langkah itu diambil berikutan perbelanjaan kerajaan meningkat sehingga menyebabkan kos sara hidup lebih tinggi.

Mustapa berkata, masih belum ada keputusan muktamad mengenai pelaksanaan subsidi bersasar.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

 

"Mereka yang berhak untuk menerima subsidi akan terus menerima subsidi. Pembaharuan akan dibuat ke atas gas dan minyak masak. Begitu juga dengan petrol dan diesel. Itu adalah empat subsidi utama.

 

"Jumlah terbesar adalah petrol khususnya RON95, yang merangkumi sebahagian besar subsidi, jadi akan ada struktur subsidi berbeza.

 

"Sasarannya adalah memastikan mereka yang memerlukan subsidi, akan mendapat subsidi. Lebih cepat ia dilaksanakan, pastinya akan meredakan tekanan terhadap bajet kerajaan," katanya dalam satu temubual bersama Bloomberg TV, semalam.

 

Kerajaan sebelum ini dilaporkan sedang mengkaji mekanisme subsidi yang lebih bersasar bagi memastikan sumber kewangan negara tidak dibebankan jumlah subsidi yang memanfaatkan golongan kaya.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan kerajaan akan terus mengawal kenaikan harga demi membantu rakyat dan menyokong momentum pemulihan ekonomi.

 

Menjelaskan menerusi Laporan Kewangan Rakyat ke-95, sebahagian besar subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat bulan Mac 2022 sebenarnya dinikmati oleh golongan berada, yang mempunyai lebih banyak kenderaan.

 

Hakikatnya, bagi setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen disalurkan kepada golongan T20, manakala hanya 15 sen dimanfaatkan oleh B40.

 

 

Semasa Bajet 2022 dirangka, kerajaan tidak menjangka kenaikan mendadak harga komoditi dan makanan ekoran konflik Russia-Ukraine.

 

Namun, untuk terus membantu rakyat, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada paras RM2.05 sen seliter walaupun kos sebenarnya melebihi RM4 seliter.

 

Tengku Zafrul ketika bercakap pada Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, baru-baru ini berkata Malaysia dijangka perlu menampung jumlah subsidi lebih tinggi bagi 2022 yang mencecah RM71 bilion dengan subsidi bahan api sahaja berjumlah RM30 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah.

 

Kenaikan harga barangan adalah sejajar dengan pemilihan ekonomi Malaysia.

 

Sementara itu, Mustapa berkata, kerajaan yakin akan mencapai pertumbuhan antara 5.3 hingga 6.3 peratus pada tahun ini, seperti yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bersandarkan kepada prestasi mantap suku pertama iaitu pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus.

 

"Dua bulan pertama suku kedua, terutama pada April dan Mei kelihatan memberangsangkan. Justeru, Malaysia akan mencatatkan prestasi baik pada separuh pertama (2022) dan bagi keseluruhan tahun juga.

 

"Kami kekal optimis bahawa (pertumbuhan) antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus boleh dicapai seperti yang diunjurkan oleh bank pusat," katanya.

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Tidak, tidak pernah ada perbincangan," katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai khabar…
Berita Domestik
Armizan berkata, ia berdasarkan Arahan Pengawal Bekalan Di bawah Peraturan 12A, Peraturan-peraturan…
Berita Domestik
Menurutnya, dengan menggunakan data daripada PADU, ia akan menambah baik program sosial dan ekonomi…