Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan malam ini berkata setelah penelitian dibuat terhadap hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan, pihaknya mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwa pegawai berpangkat DSP itu di bawah seksyen berkenaan.
“Justeru, suspek akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak esok. Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi tujuan perbicaraan,” menurut kenyataan itu.
Pada 15 Disember, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaikinya dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.
Kemalangan kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Zaharif Affendi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.
Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
Sumber: Bernama