Menurut tiga sumber yang enggan dikenali, SUV Crown itu bakal ditawarkan dalam versi hibrid, plug-in hybrid dan model elektrik penuh (EV).

Langkah yang diambil oleh Toyota itu dikatakan mampu menjadikan penawaran Crown selari dengan trend pasaran semasa, di mana majoriti pengguna kini lebih menggemari produk SUV berbanding sedan.
Laporan itu turut menyebut, penjualan model SUV Crown hibrid dijangka bermula pada musim panas 2023 termasuk eksport ke pasaran China dan Amerika Syarikat, sementara model plug-in hybrid pula hanya dikhususkan untuk pasaran domestik Jepun sahaja.
Manakala model Crown EV pula bakal dilancarkan pada tahun 2024.

Untuk mereka yang masih lagi menggemari sedan Crown, generasi baharu Crown dijangka akan muncul pada tahun ini, di mana kedua-dua versi sedan dan SUV akan dipasang di kilang Toyota City.
Laporan terbaharu ini dilihat bertepatan dengan berita yang pernah kami petik daripada laman web Jepun Best Car Web, di mana Toyota bakal membawakan versi SUV (digelar Crown Cross) untuk penawaran sedan Crown generasi baharu.
Pada zaman kegemilangan Crown tahun 1990, Toyota berjaya menjual sebanyak lebih 200,000 unit setahun, sebelum angka tersebut menurun kepada 101,000 unit tahun 2000 dan 36,000 unit pada tahun 2019.
Sumber: Reuters