Jika sebelum ini Toyota Crown lebih dikenali sebagai model sedan sejak beberapa generasi yang lepas, kali ini Toyota melancarkan bukan satu, tapi empat jenis bentuk badan Crown yang pertama kali dilancarkan untuk peringkat global, iaitu versi Crossover, Sport, Sedan dan juga Estate.

Toyota Crown versi Crossover menggandingkan elemen sedan fastback dan SUV, sementara versi Sport pula menawarkan satu pakej pemanduan yang lebih sporti.
Selain daripada versi sedan yang masih lagi dikekalkan, Toyota Crown juga boleh didapati dalam versi Estate, di mana ia sebenarnya merupakan sebuah SUV dengan dimensi yang lebih tinggi.
Model pertama yang akan muncul pada musim luruh tahun ini adalah Crown Crossover type sebagai satu jawapan kepada permintaan pelanggan yang lebih meluas demografiknya.

Toyota Crown generasi baharu menggunakan platform TNGA-K (Avalon, Camry, Highlander, RAV4, Venza), dengan sistem suspensi topang McPherson di hadapan, diikuti dengan suspensi multi-link di bahagian belakang yang menawarkan kestabilan dan keselesaan sebuah Crown.
Selain itu, pengendalian turut ditambah baik dengan penggunaan gear stereng yang lebih pantas serta mampu mengurangkan kadar gegaran dan bunyi bising, serta sistem kawalan brek Active Cornering Assist yang mampu mengurangkan kesan understeer pada sesetengah situasi.
Dari segi ukuran, Crown Crossover membawakan panjang 4,928 mm, lebar 1,839 mm, tinggi 1,539 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,850 mm.

Seperti yang anda lihat, Toyota Crown Crossover ini membawakan garis badan sedan fastback dengan jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi, dipadankan dengan elemen SUV seperti pemasangan cladding plastik di sekeliling badan dan saiz tayar yang agak besar.
Memasuki ruang kabin, anda akan mendapati susun atur papan pemuka Crown yang lebih kemas bagi memudahkan ia dioperasikan secara baik dari mana-mana tempat duduk, dengan rekaan konsol tengah yang membahagikan ruang antara pemandu dan penumpang hadapan bagi membolehkan pemandu fokus kepada pemanduannya.
Terdapat skrin kluster instrumen bersaiz 12.3 inci dan skrin infotainmen Toyota Audio Multimedia 12.3 inci yang turut menyokong kata sapaan "Hey Toyota", serta kemaskini over-the-air.

Bergantung kepada pasaran, Toyota Crown didatangkan dengan ciri tempat duduk boleh laras lapan cara dengan ciri pemanas, kawalan iklim dua zon, pengecasan peranti pintar nirwayar, kaca akustik dan penebat bunyi, sehinggalah kepada ciri yang lebih premium seperti bumbung panorama, sistem audio JBL 11 pembesar suara dan sistem Adaptive Variable Suspension serta rim 21 inci dengan kemasan hitam.
Terdapat dua pilihan enjin yang ditawarkan, iaitu nadi hibrid 2.5 liter yang dipadankan dengan dua motor elektrik, transmisi CVT kawalan elektronik dan bateri nikel-metal hydride output tinggi, serta trenkuasa Hybrid Max 2.4 liter turbo (340 hp) yang dipadankan dengan transmisi automatik direct shift enam kelajuan.
Kesemua model dipadankan dengan sistem pacuan semua roda yang menampilkan motor elektrik pada gandar belakang (eAxle).

Secara standard, Toyota Crown didatangkan dengan kelengkapan Toyota Safety Sense yang merangkumi Bantuan Suluhan Tinggi Automatik, Kawalan Jelajah Dinamik Radar, Bantuan Papan Tanda, Sistem Pra-Pelanggaran dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Stereng, Bantuan Mengesan Lorong, Pemantauan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang.
Perincian tiga lagi model Crown akan didedahkan pada masa akan datang, dan menurut Toyota, generasi baharu Crown ini akan dilancarkan di lebih 40 buah negara di seluruh dunia.
Keluarga Crown Generasi Baharu