
Hilux merupakan ikon global buat jenama Toyota dengan reputasi yang baik dari segi ketahanan dan kelasakan.
Sebagai sebuah pengeluar dengan pelbagai teknologi elektrifikasi, projek ini tidak terlalu mudah meskipun Toyota mempunyai model sel bahan api hidrogen.
Rangkaian kuasa Hilux menggunakan perkakasan utama dari Toyota Mirai dan kualitinya telah terbukti dalam tempoh pengkomersialan hampir satu dekad.

Apabila dipandu, sel bahan api tidak mengeluarkan sebarang emisi kecuali air tulen.
Dari gambar boleh dilihat tiga buah tangki bertekanan tinggi yang dijadikan tempat simpanan hidrogen.
Toyota memaklumkan Hilux itu boleh dipandu lebih 600 kilometer (km) dan lebih jauh berbanding sistem elektrik bateri.

Bateri hibrid yang menyimpan tenaga elektrik yang dihasilkan sel bahan api dipasang di dek belakang supaya tidak memakan ruang kabin.
Projek ini bermula pada awal 2022 dengan kajian kebolehlaksanaan dijalankan TMUK dan Toyota Motor Eropah (TME).
Dana projek diperolehi dari Kerajaan UK melalui Advanced Propulsion Centre (APC).

APC adalah sebuah organisasi bukan untung yang membantu dalam membangunkan teknologi lebih bersih dan konsep mobiliti baharu.
Dana itu membolehkan program reka bentuk dan pembangunan bermula pada 1 Julai 2022 bersama rakan konsortium dan sokongan tambahan dari Toyota Motor Corporation.
Pemasangan prototaip bermula pada 5 Jun 2023 mengikut prinsip Sistem Pengeluaran Toyota di sebuah ruang khas di kilang TMUK.

Unit pertama siap hanya dalam tempoh tiga minggu selepas itu dan sepuluh unit pertama bakal dipasang menjelang hujung 2023.
Kenderaan tersebut akan menjalani ujian ketat bagi memastikan keselamatan, prestasi dinamik, kefungsian dan ketahanannya memenuhi piawaian model produksi.
Selain itu, projek ini juga membolehkan kakitangan TMUK membangun dan mengguna skil baharu yang berkaitan dengan kenderaan elektrifikasi dan komponen sistem hidrogen.

Kakitangan konsortium turut memainkan peranan utama dalam fasa awal program. Ricardo membantu dalam integrasi teknikal komponen sel bahan api ke dalam casis Hilux.
Ricardo juga akan membuat penilaian lengkap di dalam beberapa bulan mendatang sebelum keputusan pengeluaran model produksi ditentukan.
Sekiranya diterima, model produksi akan diperkenal pada lima tahun terakhir sebelum 2030.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
