Pada awal bulan Mei lalu, Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengumumkan keputusan kewangan tahun fiskal 2016/2017 yang berakhir pada 31 Mac 2017. Dalam tempoh tersebut, TMC berjaya menjual lebih banyak kenderaan berbanding tahun fiskal sebelumnya.
Peningkatan jualan itu disumbang oleh beberapa pasaran utama dunia seperti Jepun, Eropah dan Asia. Jualan di pasaran lain bagaimanapun menyaksikan penurunan. Walaupun menjual lebih kenderaan, namun pendapatan bersih TMC menurun sebanyak 2.8 peratus.
Berikut ialah angka dan fakta yang dikongsi oleh TMC tentang keputusan kewangan tahun fiskal 2016/2017 (1 April 2016 hingga 31 Mac 2017):
- Jualan global ialah sebanyak 8,9760,860 unit kenderaan - Meningkat 289,532 unit berbanding tahun fiskal sebelumnya
- Peningkatan jualan di Jepun, Eropah dan Asia - Terdapat penurunan di pasaran lain
- Perolehan bersih ialah 27.5971 trilion yen (RM1.1 trilion) - Turun 2.8 peratus
- Pendapatan operasi (operating income) pula turun sebanyak 1.9443 trilion yen (RM79.5 bilion) - Susut 30.1 peratus
- Pendapatan bersih menyusut kepada 1.8311 trilion yen (RM73.0 bilion) - Turun 20.8 peratus
- Jualan di Amerika Utara menurun sebanyak 1,895 unit kepada 2,837,334 unit kenderaan
Di bawah pula ialah ramalan jualan untuk tahun fiskal 2017/2018 (1 April 2017 hingga 31 Mac 2018):
- Jualan kenderaan global sebanyak 8.9 juta unit
- Perolehan bersih sebanyak 27.5 trilion yen (RM 1.1 trilion)
- Pendapatan bersih sebanyak 1.5 trilion yen (RM 61.5 bilion)
*Angka dalam RM berdasarkan tukaran semasa - 22 Mei 2017
Penulis: Muhammad Md Tajudin