Sebagai sebuah jenama yang sinonim dengan produk yang tahan lasak dan andal, Toyota tetap mahukan produk EV pertama mereka tahan, lebih dipercayai dan diyakini penggunaannya.
Bercakap kepada Reuters, pengurus projek Toyota Masaya Yamamoto menjelaskan, "kami mahu mengimbangkan tiga faktor utama: Jarak pemanduan, tahap kemerosotan bateri serta kelajuan pengecasan.
Disebabkan BEV kebiasaannya mengambil masa yang agak lama untuk dicas, penggunaan pengecasan pantas dengan lebih kerap mampu mengakibatkan sel bateri memanas, dan menyumbang kepada kemerosotan prestasi bateri.
Ini sekaligus mampu mengakibatkan jarak operasi yang semakin pendek, dan menyebabkan nilai jualan semula yang rendah.
Menurut Toyota, bateri EV yang dibangunkan bersama Panasonic itu mengandungi bahan penyejuk khas yang tidak mengalirkan elektrik, malah pek bateri mempunyai struktur khusus bagi mengasingkan sel dan penyejuk sekiranya berlaku kebocoran sekaligus mengelakkan kebakaran seperti yang pernah terjadi pada model-model keluaran GM dan juga Hyundai.
Dengan adanya teknologi itu (bersama inovasi yang lain), Toyota mendakwa bateri EV baharu ini mampu mengekalkan lebih daripada 90 peratus kapasiti walaupun selepas satu dekad berlalu.
Toyota akan mula menjual model SUV bZ4X di Jepun menjelang pertengahan tahun 2022, dengan sasaran 3.5 juta jualan BEV menjelang 2030.
Sumber: Reuters