Dinamakan sebagai Tarok, ia dikuasakan oleh enjin 1.4 liter TSI yang mampu menjana 150 kuasa kuda sebelum ia disalurkan kepada sistem pacuan empat roda kekal menerusi transmisi automatik enam kelajuan.
Memandangkan di Brazil, bahan api ethanol adalah lebih meluas digunakan, VW Tarok telah disesuaikan supaya mampu diisi dengan bahan api sehingga E100, manakala versi diesel juga akan turut ditawarkan kelak.
Apa yang menarik, VW Tarok hadir dengan ruangan lantai barang yang boleh dilaras keluasannya, terima kasih kepada dinding belakang kabin dan kerusi yang mampu dilipat ke bawah bagi menambahkan lagi ruangan barang sehingga 2.75 meter panjang dengan tailgate dibuka penuh.
Secara mudahnya, ia sebuah trak pikap dengan rekaan badan unibodi berdasarkan platform MQB (Polo, Tiguan, Atlas) dan dengan ruangan barang yang boleh dilaras serta kemampuan untuk membawa sehingga hampir 1,000 kg muatan.
Menurut sumber, Volkswagen Tarok ini disasarkan kepada pasaran Latin Amerika, manakala bagi pengguna yang inginkan trak pikap yang sebenar daripada mereka, Volkswagen kini dikatakan sedang membangunkan sebuah trak pikap yang menggunakan asas daripada Ford Ranger.
Hanya masa yang akan menentukan adakah projek ini benar-benar menjadi ataupun tidak.