Namun begitu, bukan semua saduran itu sama. Ia bergantung kepada berapa banyak komponen JDM yang digunakan pada kenderaan asal, dan semakin banyak dipasang, semakin tinggi level "respect" di kalangan peminat.
Hampir kebanyakan peminat lebih ke arah modifikasi luaran dan kabin kerana ia adalah yang paling mudah dilihat.
Untuk yang sudah puas dengan gaya luaran, tahap kedua modifikasi ini sudah didamba - iaitu menggunakan tren kuasa (powertrain) model JDM.
Contoh terbaik ialah Myvi Lagi Best (generasi kedua) milik Muhammad Faliq Mohd Noor ini.
Berasal dari Alor Gajah dan kini menetap di Rembia, Faliq, 27, membeli Myvi 1.3L SE beliau ini pada 17 Mac, 2014.
Perlahan-lahan Myvi kepunyaan Faliq ini diubah untuk menjadi jelmaan Daihatsu Passo + Hana model tahun 2010.
Bukan setakat rupa, tetapi bahagian transmisi dan enjin turut diubah.
Faliq menggunakan bahan-bahan dari Passo + Hana model tahun 2010. Enjin 1.0L 1KR-FE menggantikan enjin 1.3L Perodua, dan paling menarik, Faliq berjaya menyumbatkan sistem transmisi All-Wheel-Drive (AWD) pacuan 4-roda ke dalam Passo jelmaan ini.
Memang tidak nampak beza dari luar, cuma bila diamati, banyak perkara telah diubah.