Dinamakan sebagai Family Huckster, Subaru GL Wagon ini menampilkan enjin boxer empat silinder yang mampu menjana kuasa setinggi 862 kuasa kuda, dipadankan dengan transmisi sekuential enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda.
Tiada sebarang perincian berhubung modifikasi enjin yang dibuat, namun bahagian luaran Subaru GL ini sebenarnya diperbuat daripada gentian karbon yang dipasangkan pada rangka spaceframe tubular.
Salah satu ciri menarik yang ada pada Subaru GL Wagon ini adalah sistem aerodinamik aktif, dimana terdapat sayap belakang yang besar serta kepak aero hidraulik di bahagian fender depan dan belakang, manakala rak gentian karbon pula sebenarnya sengaja direka untuk mengalirkan udara ke liang NACA pada bahagian bumbung terus ke radiator di bahagian belakang.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim monoblock KMC Wheels, sementara sistem gantungan pula menggunakan spesifikasi WRC jenis 'long-travel'.
Di bahagian dalam, Subaru memasang unit radio asal daripada model GL wagon 1983 kepada papan pemuka berwarna biru yang diperbuat daripada gentian karbon, selain skrin kluster instrumen 12 inci yang telah diprogramkan untuk memaparkan tolok meter bertemakan retro.