Bagi mereka yang mengikuti perkembangan rapat Careta, model SUV purba moden ini ada dipamerkan pada acara Japan Mobility Show bulan lepas.
Di pasaran Jepun, Land Cruiser 70 Series ini ditawarkan secara eksklusif dalam bentuk badan wagon SUV, dengan ukuran dimensi 4,890 mm, lebar 1,870 mm, tinggi 1,920 mm dan jarak antara roda 2,730 mm.
Ia dibekalkan dengan enjin diesel turbo 2.8 liter yang mampu menjana 201 hp dan 500 Nm - nadi 1GD-FTV yang sama wujud pada Hilux Rogue.
Enjin itu tadi dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, sistem pacuan empat roda (4WD) dan sistem gantungan yang telah dinaiktaraf.
Ciri unik yang wujud pada Land Cruiser 70 Series JDM ini ialah pemasangan cermin sisi pada fender kiri, bertujuan untuk mengurangkan kesan titik buta pada bahagian hadapan.
Land Cruiser 70 Series ini masih lagi mengekalkan casis ladder frame tradisional yang tahan lasak, namun aspek pemanduan telah ditambah baik dengan ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), dan Kawalan Menurun Cerun (DAC).
Selain daripada itu, ia juga turut dilengkapi dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran, kawalan pencahayaan automatik, serta Amaran Keluar Lorong.
Toyota memasang model SUV Land Cruiser 70 Series ini di kilang Toyota Auto Body Yoshiwara, Jepun dengan sasaran jualan bulanan sekitar 400 unit.
Ditawarkan dalam satu varian sahaja (AX), Land Cruiser 70 Series ini boleh dibeli pada harga bermula 4,800,000 yen (RM151,325).
Baca: Toyota Land Cruiser 70 Series 3 Pintu boleh dibeli di UAE